Anda di sini

Graduan UMS diingatkan jauhi amalan rasuah : Azman

Advertisement
 Azman menyampaikan skrol ijazah kepada graduan UMS.
KONVOKESYEN: Azman menyampaikan skrol ijazah kepada graduan UMS.

KOTA KINABALU: Graduan perlu menerapkan nilai-nilai yang berkualiti supaya tidak terjerumus ke dalam kancah rasuah.

Penasihat Kehormat Ambank Group merangkap Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim berkata rasuah hanya merugikan negara dan tidak boleh bertolak ansur terhadap perbuatan tersebut.

“Rasuah sudah menjadi endemik dalam kehidupan dan budaya di Malaysia, malah isu seperti penyeludupan minyak, manusia dan pembelian kad pengenalan haram banyak dikaitkan dengan pihak tertentu.

“Terlalu banyak ‘telur busuk’ dalam sesebuah organisasi dan ketika ini banyak kes yang masih menunggu perbicaraan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23, di sini, kelmarin.

Menurut Azman, graduan perlu mengambil contoh mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang berhasil menjadikan kes rasuah terendah di negaranya.

“Banyak impak negatif apabila rasuah dibiarkan berleluasa kerana ia boleh menyebabkan negara jatuh muflis atau mempunyai keterhutangan yang melampau seperti berlaku pada negara Venezuela.

“Justeru, saya ingin mengingatkan para graduan agar tidak bertoleransi dalam sebarang bentuk penyelewengan kuasa dan amalan rasuah walau apa juga bidang yang diceburi selepas ini,” katanya.

Pada majlis itu Azman menyampaikan skrol ijazah kepada graduan daripada Sidang dua hingga Sidang empat yang berlangsung di Dewan Canselor UMS.

  • oleh
  • Advertisement