Anda di sini

Dua warga asing maut ditetak menggunakan parang

Advertisement
 Kawasan kejadian kes bunuh dua warga asing terbabit.
BUNUH: Kawasan kejadian kes bunuh dua warga asing terbabit.

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing maut selepas ditetak menggunakan parang di kawasan sebuah Gereja, di Ladang Pinang, Kalumpang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa berumur 52 dan 57 tahun terbabit disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian tangan, tengkuk, leher dan kepala akibat tetakan tersebut.

Difahamkan kejadian itu berpunca akibat berlaku perselisihan faham antara salah seorang mangsa dengan suspek di lokasi kejadian.

Suspek kemudiannya mengambil sebilah parang dan menetak mangsa, manakala mangsa kedua yang cuba meleraikan keadaan juga turut ditetak.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi Utusan Borneo mengesahkan kejadian itu.

Farhan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu pada jam 6.21 petang sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

“Suspek lelaki warga asing berumur 29 tahun terbabit sudah ditahan berhampiran kawasan klinik milik ladang tersebut.

“Suspek menyerah diri selepas berjaya dipujuk anggota polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian turut menjumpai senjata parang yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah tersebut.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan polis masih meneruskan siasatan ke atas kes tersebut.  

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement