Anda di sini

Dua rakan dipenjara kerana merompak

Advertisement
 Kedua-dua tertuduh diiring keluar selepas prosiding Mahkamah.
PADAH: Kedua-dua tertuduh diiring keluar selepas prosiding Mahkamah.

TAWAU: Dua rakan subahat yang melakukan rompakan ke atas seorang lelaki ketika menggunakan khidmat kenderaan e-hailing masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 dan 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh iaitu Hamzah Syed Hamid, 26, dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun mula tarikh tangkap dan enam sebatan manakala Ziana Abdul Zain, 27, dijatuhkan penjara 10 tahun dan diarah rujuk ke Jabatan Imigresen.

Kedua-dua mereka mengaku salah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kegiatan itu bersama seorang yang masih bebas pada 14 Jun kira-kira jam 2.30 pagi di kawasan Fajar.

Tertuduh telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik Mohd Rizwan Evaristus, 27, sebuah telefon bimbit berwarna hitam.

Semasa melakukan rompakan tersebut kedua-dua tertuduh telah menggunakan senjata berbahaya yang jika digunakan boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

Dalam fakta kes, ketika kejadian pengadu telah menggunakan perkhidmatan kenderaan e-hailing dipandu seorang wanita manakala dua lelaki bersembunyi di tempat duduk penumpang belakang.

Pemandu dan dua rakannya itu telah merompak pengadu dengan salah seorang daripada mereka telah mengacukan pisau sehingga pengadu mendapat kecederaan di bahagian jari telunjuk sebelah kiri.

Hakim Awang Kerisnada ketika menjatuhkan hukuman mengambil kira fakta kes dan kepentingan awam selain memberi pengajaran serta kesedaran kepada masyarat agar sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Kes pendakwaan dikendalikan Penolong Pegawai Pendakwa, Suhaimi Suriana.

  • oleh
  • Advertisement