Anda di sini

Dua maut dalam kemalangan jalan raya di Tatau

Advertisement

BINTULU: Dua maut apabila kenderaan pikap dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lagi pikap dekat Tatau, Jalan Sibu-Bintulu, hari ini.

Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan berhubung insiden tersebut sekitar jam 2.25 petang.

Menurut beliau, hasil maklumat awal yang diterima mengesahkan kedua-dua mangsa yang terkorban dikenali sebagai Henry Jugah, 49, dan rakannya, Billy Andrew, 27.

 

Pasukan perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

"Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas," jelasnya.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pertembungan yang berlaku turut menyebabkan dua kenderaan itu remuk teruk pada bahagian hadapan.

Lelaki yang memandu sebuah lagi pikap itu patah paha dan dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Advertisement