Anda di sini

Curi besi bernilai RM150, dua sekawan didenda RM5,000

Advertisement
 

KUCHING: Dua lelaki didenda RM5,000 atau lima bulan penjara setiap seorang di Mahkamah Majistret di sini, hari ini akibat mencuri batang besi jenis cerucuk dan galvanis bernilai lebih kurang RM150.

Tertuduh, Mohamad Saufik Abdul Rauf, 24, dan Ajis Faizal Bolkipli, 37, mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dua sekawan itu didakwa secara bersama mencuri lapan batang besi milik sebuah syarikat pembinaan pada 19 Jun lalu, sekitar jam 3.05 pagi di sebuah tapak pembinaan di Jalan Sungai Maong Baru di sini.

Berdasarkan keterangan kes, pengadu iaitu pengawal keselamatan di tapak pembinaan tersebut mendapati kedua-dua tertuduh pecah masuk ke dalam kawasan berkenaan serta melihat mereka mengambil besi di sana.

Pengadu seterusnya bertindak mengejar dan berjaya menangkap salah seorang tertuduh (Saufik) bersama beberapa barangan yang dicuri iaitu sebatang besi galvanis berbentuk U dan tujuh batang besi cerucuk pelbagai saiz.

Sementara itu, hasil siasatan lanjut membawa kepada penangkapan Ajis pada 21 Jun lalu di sebuah rumah di Kampung Sungai Maong di sini. 

Anggaran kerugian dilaporkan berjumlah RM150. 

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi. 

Advertisement