Anda di sini

Amanat Ini

Advertisement
 

Oleh Abang Hut Abang Engkeh

AKU baru saja melabuhkan punggungku di kerusi plastik Restoran Hijrah selepas membeli bekalan barang-barang dapur di Pasar Raya Mydin sebentar tadi. Sambil menunggu teh halia tarik kurang manis yang baru saja kupesan, aku menatap akhbar Suara Sarawak yang baru pagi tadi aku beli di Stesen Minyak Shell di Jalan Sultan Tengah. Akbar-akhbar lain yang selalunya tersusun di rak khas di stesen ini semua telah habis dijual. Mungkin ada berita menarik pagi ini yang menyebabkan akhbar pagi ini laris seperti pisang goreng panas. Sambil meneliti halaman pertama akhbar, aku terlihat dari arah seberang jalan ada susuk tubuh berjubah hijau menuju ke arahku. Aku memang mengenali susuk tubuh itu. Dia semakin dekat dan aku nampak bibirnya tersenyum lebar, tanda hatinya riang.
     Aku memberi salam, menghulurkan tangan terlebih dahulu kepadanya. Tidak salah rasanya aku mendahului salamku sebagai menghormati usianya yang jauh lebih tua daripadaku. Itulah syiar Islam, yang muda menghormati yang tua.
     Lama kami bersalaman, mungkin kerana sudah lama tidak berjumpa. Mesra rasanya genggaman tangan kami. Telapak tangan Abang Man kurasa agak keras berbanding dua tiga tahun yang lepas. “Mungkin banyak menyangkul agaknya sejak bersara daripada perkhidmatan kerajaan tiga tahun yang lalu,” terjah hatiku.
     Sambil tersengih, menampakkan giginya yang masih terjaga rapi, Abang Man menarik kerusi lalu duduk dan memesan minuman. Begitulah rutin Abang Man sejak bersara, selepas solat subuh berjemaah di surau Taman Puteri, dia dan beberapa orang teman setaman akan menghangatkan badan dengan kopi panas di restoran ini. 
     Hari ini Abang Man bersendirian. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Hari ini dia juga agak lewat ke restoran ini. Kulihat jam di tanganku, waktu duha telah jauh ke hujungnya. 
“Nak ke mana agaknya Abang Man ni?” getus hati kecilku. “Tak menyangkulkah dia hari ini?” “Tak menuliskah dia??” Fikiranku tertanya-tanya. Pakaiannya pun ringkas. Abang Man mengenakan jubah hijau dan berkopiah putih buatan Malaysia. “Mungkinkah Abang Man telah berhenti menulis kerana seronok bersama rakan-rakan pesara yang lain. Atau mungkin juga seronok berkebun sehingga pena tidak sempat diasah.” Tekaan dalam benakku berputar-putar mencari jawapan. 
     Setelah teh halia tarik dan kopi O pekat kurang manis yang dipesan terletak di atas meja, aku mengajukan pertanyaan yang dari tadi berlegar di dalam fikirkanku kepada Abang Man.
     “Nak ke mana Abang Man hari ini?” Tanyaku sambil mempersilakan Abang Man minum kopi O pekat kurang manis yang wap panasnya masih menerjah bibir cawan.
     “Abang Man nak ke majlis tahlil arwah Tok Nan, mantan Ketua Menteri kita,” ujar Abang Man sambil menghirup kopi O pekat kurang manis yang masih panas itu. Ada kepuasan di wajahnya. 
     “Usai tahlilnya nanti, jemputan terus solat zuhur berjemaah di rumah arwah. Kebetulan Kak Mah kau pun tak ada di rumah, berambeh di rumah cucu di Batu Kitang.” Jelas jawapan Abang Man. Aku mengangguk kepalaku lalu meneguk teh halia tarik yang telah mula menyejuk.
     “Biasanya majlis begini bermula dengan solat maghrib, tahlil, lalu solat isyak sebelum jamuan. Tetapi majlis hari ini dibuat pada sebelah pagi. Elok jugalah, mata Abang Man ni dah tua... susah nak memandu pada waktu malam, apatah lagi kalau hujan.” 
     “Mana lagi ahli kariah surau Abang Man?” Aku menyambung pertanyaanku. 
     “Semua Ahli Jawatankuasa Surau Taman Puteri dijemput. Mereka lewat sedikit kerana ada urusan masing-masing. Perut Abang Man ni minta diisi sedikit, sebab itulah Abang Man turun lebih awal.” Jawab Abang Man, sambil menghirup lagi kopi O pekat kurang manis yang sudah hilang wap panasnya.
Anggukan kepalaku seperti anggukan burung merpati ketika mematuk jagung di dataran kosong bersebelahan dataran Masjidil Haram. Setiap petang ada jemaah umrah yang pemurah memberi makan burung merpati di situ. Subhanallah! Tanda kasih sesama makhluk, berbahagi rezeki kurniaan Allah. 
     “Sejak Tok Nan kembali ke rahmatullah, keluarga arwah sering mengadakan majlis tahlil,” sambung Abang Man lagi tanpaku tanya. “Ahli kariah surau berdekatan akan dijemput bersama-sama ke majlis tersebut... Semoga roh arwah ditempatkan bersama roh-roh pejuang yang soleh.” Doa Abang Man sedikit sayu. Aku mengaminkannya penuh syahdu.
     Tetapi dalam kesayuan doa Abang Man itu, ada semangat yang cuba Abang Man tekankan. Ungkapan doa “roh-roh pejuang yang soleh” menarik perhatianku. 
“Abang Man...” kataku perlahan. “Kenapa Abang Man menggunakan istilah ‘pejuang-pejuang yang soleh’ dalam ungkapan Abang Man tadi? Kenapa tidak hamba-hamba yang soleh? Bukankah kita ini semuanya bertaraf hamba?” 
     Riak wajah Abang Man agak terkejut dengan soalanku. Mungkin dia tidak menduga soalan itu. Atau mungkin juga soalan seperti ini agak berat jawapannya seperti soalan-soalan di atas pentas forum yang biasa kuhadiri.
     “Begini...” ujar Abang Man perlahan, mengatur duduknya sebelum meneruskan jawapan. “Semasa Tok Nan diangkat menjadi Ketua Menteri, masih ada baki sebulan lagi tempoh perkhidmatan Abang Man sebagai pegawai kerajaan. Pada mulanya, Abang Man agak ragu-ragu juga dengan kemampuan Tok Nan. Arwah Tok Nan ketika itu sudah berumur dan tidak dalam keadaan kesihatan yang baik,” jelas Abang Man.
     “Tapi...kau tahu tak?” soalan Abang Man ternoktah di situ. Aku menongkat dagu memandang tepat anak mata Abang Man.
     “Apabila kali pertama Tok Nan berucap dengan laungan keramatnya ‘Oh Ha’, Abang Man rasa semacam ada sesuatu yang menjentik semangat Abang Man sebagai anak negeri. Bulu roma Abang Man ni... semuanya meremang setiap kali beliau laungkan ungkapan keramat itu.” Penuh bersemangat Abang Man membuat penjelasan.
     Sejujurnya aku juga mengakui ada kelainan ketika Tok Nan menerajui negeri ini. Laungan “Oh Ha” dalam setiap rapat umum dan perjumpaan rakyat ialah seruan keramat yang membangkitkan semangat anak negeri. Tak ubah seperti pidato Sukarno yang membangkitkan semangat rakyat Indonesia untuk mendaulatkan Pancasila pada 1 Jun 1945. Seperti genderang perang, laungan “Oh Ha” menyatukan jiwa dan rasa rakyat untuk sama-sama berjuang mempertahankan kedaulatan negeri.
     “Betul kata Abang Man. Dalam keadaan yang tidak sihat itu... Tok Nan mampu menyerlahkan semangat juangnya. Tok Nan memang pemimpin sejati.” kataku menyokong jawapan Abang Man.
     “Terlalu banyak jasa arwah kepada kita. Walaupun hanya sekejap menjadi Ketua Menteri, namun sumbangannya kepada rakyat memang tidak dapat dinafikan.” Jelas Abang Man lagi.
     “Benar, Abang Man. Arwah dipanggil pulang dalam keadaan kita masih memerlukan kepimpinannya. Apakan daya... Allah lebih menyayanginya. Kita merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik untuk hamba-Nya. Ramai yang merindui kepimpinan Tok Nan,” balasku. Abang Man mengangguk mengiakan. 
     “Tok Nan ialah contoh pejuang rakyat. Pada dirinya penuh dengan sifat kemanusiaan. Sebab itulah...  banyak polisinya yang menguntungkan rakyat. Hanya rakyat yang degil, enggan memahami polisi yang dibuat oleh Tok Nan. Malah, tindakan awal Tok Nan mengejutkan banyak pihak, beliau menyantuni lawan politiknya. Semasa Tok Nan mengumumkan penghapusan tol, Abang Man melompat macam kanak-kanak. Begitu juga semasa Tok Nan mengumumkan bahawa kerajaan berhenti mengeluarkan lesen balak.... Terlalu suka hati Abang Man.”  Abang Man tersenyum. Pandangannya dilempar jauh. Barangkali ada tayangan masa lalu sedang menerjah fikirannya saat itu.
     “Dengan cara itu, aktiviti pembalakan di negeri kita dapat dikawal. Apatah lagi ketika itu sedang hangat isu operasi pembalakan haram. Tentu ternganga taikun-taikun balak yang selama ini bermaharajalela di negeri kita. Penuh yakin Abang Man bercerita, seolah-olah ada catatan nota di hadapannya.
      “Tidak dinafikan jasa-jasa Tok Nan telah banyak merubah landskap negeri ini. Banyak polisi Tok Nan membumi menyantuni rakyat terbanyak. Kebajikan rakyat dijaga. Usaha Tok Nan telah membahagikan peluang kesenangan hidup kepada rakyat untuk tidak dimonopoli oleh kelompok tertentu semata-mata. Hasil ekonomi negeri dijaga supaya tidak disalah urus. Hak negeri dalam Persekutuan disemak semula...” tambahku. Membunga senyum Abang Man apabila aku menokok tambah jasa Tok Nan dalam perbincangan kami.
     “Tok Nan seolah-olah tahu bahawa dia tidak akan lama dalam perjuangan ini...” kataku. “Tok Nan telah memulakan kepimpinan dan perjuangannya dengan laungan keramat. Memuncak semangat semua anak negeri disebabkan laungan tersebut. Sepanjang tempoh menjadi Ketua Menteri, Tok Nan sering kali menyampaikan amanat dan pesanannya kepada kita.” Aku melihat Abang Man mengangguk tanda setuju.

 

     “Dalam kebanyakan rapat umum yang dihadirinya, Tok Nan berkali-kali berpesan... ‘jaga Sarawak ini baik-baik, kalau bukan kita, siapa lagi?’” 
     Terpegun Abang Man mendengar amanat Tok Nan yang kuungkapkan itu. Seperti ada kesayuan pada wajahnya.
     Aku mengerti, kerana Abang Man orang lama dalam perjuangan. Dia berjuang melalui perkhidmatan dan penulisan di dalam membangunkan bangsa. Abang Man pernah bertugas nun jauh di pedalaman walaupun penuh kepayahan. Usahanya bersama pemerintah adalah untuk memastikan pembangunan dalam kalangan masyarakat pedalaman dan luar bandar terlaksana. Melalui tulisannya yang suatu ketika dulu sering tersiar di dada akhbar tempatan, Abang Man sering membawa pesan pembangunan bangsa. Mungkin kerana itu, dalam perbincangan pendek ini tentang perjuangan Tok Nan, Abang Man dapat merasai denyut nadi perjuangan tersebut.
     “Tapi, adakah amanat Tok Nan difahami oleh masyarakat kita?” Abang Man menimbulkan persoalan. Ada makna besar yang perlu dirungkai ke atas persoalan yang ditimbulkan Abang Man kali ini. 
     “Jangan-jangan amanat ini sudah terkubur bersama-sama pemergian Tok Nan. Sedangkan dalam pesanan ini, ada pemikiran besar yang dibawa oleh Tok Nan. Seharusnya ada usaha untuk memugar pemikiran ini supaya tidak sekadar menjadi sebutan di bibir,” Abang Man menyambung kata-katanya dengan penuh pengharapan. 
     Aku membiarkan Abang Man dengan pemikirannya kerana mataku tiba-tiba tertangkap pada sebuah puisi yang disiarkan di ruangan Sanggar Puisi akhbar Suara Sarawak hari ini. Aku hayati puisi itu, ada kaitan langsung dengan perbincangan aku dengan Abang Man. Amat rapat kaitannya. Pengkaryanya Udaksan. Itu nama pena Abang Man, fikirku. Aku terkedu. Kuhulurkan akhbar kepada Abang Man. Mungkin Abang Man belum sempat membacanya pagi ini. Abang Man turut terkejut menatap puisinya yang terpampang di ruangan itu. 
     Sememangnya pandangan Abang Man tentang amanat Tok Nan ada benarnya. Amanat yang merupakan pemikiran besar pemimpin ulung yang perlu dibugar semula. Mesti ada usaha untuk membedah segala maknanya, segala pandangannya, segala jangkauannya, segala lingkupannya dan segala tuntutannya agar difahami, dihayati dan dilaksanakan oleh semua lapisan rakyat dan semua lapisan warga negeri ini.
     Jam ditanganku telah menunjukkan 12.00 tengah hari. Sebentar lagi Abang Man pasti minta diri untuk bergegas ke rumah arwah Tok Nan. Aku tidak mahu terlepas peluang keemasan ini untuk mendengar penghayatan penulisnya sendiri terhadap sajak berjudul “Amanat Ini” yang terpampang di dada akhbar hari ini. Ligat fikiranku mencari peluang. Akhirnya kujumpa juga lantas kucadangkan kepada Abang Man. Mulanya Abang Man agak keberatan, tetapi akhirnya Abang Man bersetuju dengan cadanganku.  
     “Biar semua pengunjung restoran ini tahu amanat besar ini,” kataku memberi semangat kepada Abang Man. Aku tahu kehebatan Abang Man, pastinya tidak mengecewakan. Dengan persetujuan pemilik restoran, aku serahkan segalanya kepada Abang Man.

Amanat Tok Nan
“jaga Sarawak tuk bait-bait”

Amanat ini
Mendalam maknanya 
Jauh pandangannya
Panjang jangkauannya
Luas lingkupannya
Berat tuntutannya

Segala umara, segala ulama,
Segala pegawai, segala peniaga
Segala petani, segala nelayan
Segala pekerja, segala karyawan
Segala yang miskin, segala yang kaya
Segala rakyat, segala warga
Dari kota ke desa, 
Dari lembah ke gunung
Dari jalan ke lorong
Siapa saja di mana jua
Terkesan semua
Jangan ada yang berdalih
Berhelah mengalas letih

Amanat ini mest dijunjung
Amanat ini mesti dijulang
Amanat ini kita genggam kejap
Bak api membara
Kita genggam menjadi arang
Jangan terlepas, jangan dilepas
Walau peritnya menghujam
Derita di hujung nyawa

Amanat ini
Kalau bukan kita siapa lagi
Harapan Ibu Pertiwi

     Abang Man mendeklamasi sajaknya dengan penuh bersemangat. Memukau diriku dan pengunjung di Restoran Hijrah. Abang Man tersenyum puas. Pemikirannya tentang amanat Tok Nan tersampai sudah. Program spontan deklamasi sajak mendapat tepukan gemuruh. Pemilik restoran mengucapkan terima kasih.
     Sebelum melangkah keluar Abang Man berbisik kepadaku, “Terima kasih atas peluang untuk Abang Man suarakan kata hati yang terbuku sejak sekian lama tentang amanat pemimpin rakyat pemimpin ternama – Tok Nan.”

Glosari
berambeh    bermalam atau singgah sebentar

 
 
Advertisement