Anda di sini

Abang Johari mahu Unimas wujudkan makmal pertanian di pedalaman Sarawak

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ditugaskan untuk menubuhkan makmal di kawasan pedalaman di negeri ini bagi memperkenalkan pertanian moden dan komersial kepada penduduk di sana.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendedahan masyarakat petani luar bandar dengan teknologi moden boleh menarik generasi muda masyarakat itu untuk melihat pertanian sebagai perniagaan dan bukannya kerjaya kelas rendah.

Beliau berkata Unimas bersama institusi tempatan dan agensi kerajaan yang lain mempunyai input untuk menyediakan teknologi baharu kepada golongan itu tetapi tugas yang lebih besar ialah mengubah persepsi khususnya dalam kalangan orang muda terhadap pertanian.

“Ia hanya untuk meyakinkan petani, meyakinkan anak-anak mereka untuk menceburi bidang pertanian sebagai entiti perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Komemoratif Unimas di sini hari ini.

Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Komemoratif Unimas di Kota Samarahan, hari ini. - Gambar UKAS
Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Komemoratif Unimas di Kota Samarahan, hari ini. - Gambar UKAS

Beliau berkata kerajaan Sarawak sedang berusaha menjadikan negeri itu sebagai pengeksport bersih produk makanan menjelang 2030 dan telah mewujudkan taman agro di beberapa tempat sebagai strategi untuk mencapai objektif ini.

Abang Johari berkata sasaran ini memerlukan kerajaan negeri merancang lebih banyak infrastruktur asas dan digital untuk menggalakkan lebih banyak pertanian hiliran diwujudkan.

Beliau berkata Sarawak juga boleh menggunakan tanahnya yang luas untuk menarik pelabur luar negara yang menghadapi kekurangan tempat untuk menjalankan usaha pertanian untuk datang ke negeri ini.

“Sektor swasta dari luar negara boleh datang dan mereka boleh menjadi pengukuh (syarikat). Boleh beli daripada petani biasa dan mereka boleh mengeksportnya. Apa yang penting ialah kualiti makanan yang mesti bertaraf antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata Sarawak juga dikurniakan dengan sumber asli yang boleh diproses menjadi baja atau bahan mentah yang kemudian dapat mengurangkan import bahan tersebut untuk memenuhi keperluan sektor pertanian.

“Kita ada sisa minyak sawit, kita ada gas yang boleh mengeluarkan baja. Akhirnya kita tidak bergantung kepada import. Memandangkan jumlah penduduk kita kecil, tujuan kita juga adalah untuk menghasilkan bahan makanan untuk dieksport,” katanya. - BERNAMA

Advertisement