Anda di sini

Ting cadang penganjuran aktiviti kaligrafi Cina lebih besar di Miri 

Advertisement

myy-ub260622-sn-kaligraficina
oleh STEVE ANNUAR
(edited) 

(Dari tengah) Ting, Kam dan Goh menyaksikan demonstrasi tulisan kaligrafi Cina di premis Pertubuhan Budaya dan Kaligrafi Cina di Permyjaya, Miri hari ini.
(Dari tengah) Ting, Kam dan Goh menyaksikan demonstrasi tulisan kaligrafi Cina di premis Pertubuhan Budaya dan Kaligrafi Cina di Permyjaya, Miri hari ini.

MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting mencadangkan kepada Pertubuhan Budaya dan Kaligrafi Cina Miri merancang aktiviti lebih besar pada tahun depan. 

Katanya, penganjur boleh menjemput penyertaan ahli kaligrafi dari dalam dan luar Sarawak menjayakan aktiviti tersebut. 

Beliau berkata, ia juga sebagai landasan memperkenal secara lebih dekat keunikan seni kaligrafi Cina kepada masyarakat dan pelancong. 

"Saya mencadangkan agar aktiviti diadakan selama dua atau tiga hari untuk mempromosikan bandar raya Miri. 

"Dari sini, ia boleh menjadi acara tahunan. Saya pasti kementerian berminat mempromosikan acara ini. 

“Selain menggalakkan kehadiran pelancongan, seni kaligrafi berkaitan dengan budaya Cina dan boleh dipromosikan di bawah kebudayaan," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi premis baharu pertubuhan itu di Lot 8690, Permyjaya di sini, hari ini.

Menurut Ting, dalam masyarakat Cina seni kaligrafi adalah antara seni kreatif yang memerlukan penguasaan dalam bahasa Cina termasuk penggunaan perkataan dan peribahasa. 

"Setiap ayat memberi banyak makna. Seorang ahli kaligrafi baik harus mempunyai asas bahasa Cina yang kuat serta latihan berterusan," katanya sambil menambah, terdapat pelbagai cara penulisan kaligrafi boleh diajar dan dikuasai. 

Tentang aktiviti itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu berkata ia peluang mempertemu kaligrafer dalam dan luar Miri selain memperkenal pusat kaligrafi Cina di sini. 

Seramai 11 kaligrafer dari Kuching, Johor dan Sabah dijemput berkongsi pengalaman dan mendemonstrasikan seni kaligrafi mereka kepada penulis baharu. 

"Aktiviti ini adalah untuk mempromosikan kaligrafi Cina dan peluang untuk menambah dana dengan menjual hasil seni mereka," jelasnya. 

Ting berkata, pertubuhan yang telah berpindah ke premis baharu itu memerlukan dana untuk kerja-kerja renovasi. 

Beliau turut menyumbang dana projek kecil luar bandar (MRP) kepada tabung pertubuhan tersebut. 

Hadir sama Presiden Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu (FCA) Datuk David Goh dan Pengerusi Pertubuhan Budaya dan Kaligrafi Cina Miri Kam Mui Mui.  

Advertisement