Anda di sini

Sarawak jangka hasil kutipan SST produk petroleum meningkat tahun ini

Advertisement

Ia susulan harga minyak dunia telah meningkat ketika ini: Abang Johari

 Abang Johari ketika menyampaikan ucapan. - Gambar Penerangan
Abang Johari ketika menyampaikan ucapan. - Gambar Penerangan

KUCHING: Sarawak dijangka akan menerima lebih banyak hasil kutipan daripada Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum tahun ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini susulan harga minyak dunia telah meningkat ketika ini.

“Sarawak sudah mendapat hasil ‘tuaian’ yang banyak selepas kita mengenakan SST ke atas produk minyak dan gas. 

“Hanya dalam tempoh tiga tahun kita telah berjaya mengutip RM8.5 bilion SST daripada produk petroleum di negeri ini. Dan kita menjangkakan kutipan tahun ini akan terus meningkat susulan kenaikan harga minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Sabtu.

Susulan itu, Abang Johari berkata akan ada satu lagi sambutan ‘Gawai’ pada hujung tahun ini.

“Gawai yang dimaksudkan itu merujuk kepada hasil kutipan SST di mana ia merupakan tanda kesyukuran untuk hasil tuaian yang melimpah ruah.

“Selepas semua kerja keras yang kita lakukan hasilnya dapat dinikmati dan konsep ini sangat dekat dengan saya. Kerana rakyat Sarawak akan menuai apa sahaja yang kita perolehi untuk manfaat semua,” katanya.

Sekiranya Sarawak mempunyai kewangan yang kukuh katanya, ini akan membolehkan negeri ini melaksanakan pelan pembangunan di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

"Itulah sebabnya di bawah PCDS 2030, kita bercakap tentang keterangkuman sosial, dan apabila kita mendapatkan hasil yang baik, kita akan berkongsi dengan semua orang.

"Ini adalah konsep Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di mana kita kongsi kejayaan bersama-sama,” ujarnya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak telah berjaya mendapatkan semula hak tertentu daripada kerajaan Persekutuan.

"Perkara seterusnya adalah kita mesti mempunyai suara yang kuat di Parlimen pada pilihan raya umum yang akan datang.

"Saya yakin kita boleh meneruskan rundingan mengenai di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Gawai Dayak Dato Gerawat Gala dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement