Anda di sini

Sapawi Yang Dipertua USIA baharu

Advertisement
SAPAWI
SAPAWI

KOTA KINABALU: Ketua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad dipilih sebagai Yang Dipertua USIA Sabah yang baharu bagi sesi 2022-2024 dalam mesyuarat agung ke-35 pertubuhan itu di sini semalam.

Bekas Ahli Parlimen Sipitang itu memperolehi sebanyak 135  undi, manakala dua pencabarnya, Datuk Mohammad Yusof Apdal memperolehi 126 undi dan penyandang sebelum ini Datuk Sairin Karno memperolehi 50 undi.

Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, Ketua USIA Bahagian Tungku Abul Hakim Gulam Hassan dipilih menduduki jawatan berkenaan setelah menewaskan dua pencabarnya, Datuk Seri Arsit Sedi dan Datuk Alipudin P Puyon.

Seramai 10 orang menawarkan diri untuk jawatan Naib Yang Dipertua bagi mengisi lima jawatan. Mereka yang terpilih ialah Madaile Haji Basri, Prof Datuk Dr Kassim Mansur,  Dr. Suhaili Riman, Datuk Arshad Idris dan Datuk Pg Abdul Rahman Pengiran Digadong Haji Muhammad Galpam.

Kejutan turut berlaku bagi jawatan Ketua Badan Wanita USIA apabila penyandangnya, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun memperolehi 140 undi, tewas kepada Ketua Wanita USIA Bahagian Kuala Penyu Datuk Siti Aminah Aching yang memperolehi 167 undi.

Bagi jawatan Ketua Belia USIA, penyandangnya Jamawi Jaafar berjaya mempertahankan jawatan berkenaan dengan memperolehi  178 undi, mengenepikan pencabarnya Salleh Jatil yang memperolehi undi 136. 

Seramai 18 orang barisan Ahli Majlis Tertinggi dipilih pada pemilihan kali ini. Mereka terdiri daripada Datuk  Matin Pandin, Amat Saruna, Zulpah Datu Mustapha,  Jumain Abdul Ghani, Ruslan Muharram, Yahya Zainal, Datuk Zakaria Edris, Abd Kahar Abd Rahman, Nani Abah, Piduman Abdul Majid, Edul Mulud, Senan Jipar, Serubih Marimin, Ahmad Mohd Said, Datuk Pengiran Saifuffin Pg Tahir, Rafaeh Enarji, Danial @ Zainal Aliudin, dan Nursuhana Abdullah.

Sementara itu ketika berucap menangguhkan mesyuarat agung itu, Sapawi yang juga bekas Pengarah Yayasan Sabah berkata, barisan yang dipilih kali ini memikul satu amanah dan tanggungjawab besar dari para pewakilan dalam melaksanakan serta memperkasakan gerakan dakwah di Sabah.

Menurutnya, tugas itu tidak mampu dilakukan secara berseorangan tanpa adanya sokongan serta kerjasama dari barisan tertinggi USIA selain sokongan dari seluruh ahli-ahli USIA di semua peringkat.

"Kita akan bekerja dan bergerak dalam satu pasukan dalam memperkasakan gerakan dakwah negeri ini selain turut memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan ekonomi dan kebajikan ahli-ahli USIA," katanya. 
 

Advertisement