Anda di sini

Salur maklumat aktiviti penyelewengan, sorok barang kawalan 

Advertisement
Anggota KPDNHEP Cawangan Sri Aman melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa premis bagi memastikan bekalan asas dan keperluan mencukupi untuk pengguna.
Anggota KPDNHEP Cawangan Sri Aman melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa premis bagi memastikan bekalan asas dan keperluan mencukupi untuk pengguna.

KUCHING: Masyarakat disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan dan bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman, Al Redzamani Abdul Razak berkata, ia bertujuan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi di mana kegiatan itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada negara.

Menurutnya, KPDNHEP sentiasa serius membendung kegiatan penyelewengan barang kawalan subsidi yang menjadi penyumbang utama ketirisan subsidi dan gangguan barang kawalan di pasaran.

"KPDNHEP ingin beri amaran kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit dan bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dengan menyorok barang kawalan dan bersubsidi.

"Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta jika sabit kesalahan.

"Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM3 juta bagi perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, bagi syarikat yang disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM5 juta.

Selain itu, bagi memastikan industri dan peniaga barang kawalan serta keperluan asas sentiasa cakna serta mengelakkan berlakunya aktiviti penyelewengan, KPDNHEP telah melaksanakan Kempen Anti Sorok Barang Kawalan.

Katanya, pelaksanaan kempen ini dilihat menunjukkan impak positif dan hasil pemeriksaan harian mendapati lebih 90 peratus premis peruncit terpilih (DDR) mempunyai bekalan barang kawalan dan keperluan asas.

"Pengedaran barang kawalan di peringkat pemborong terpilih (DDW) juga mengikut keperluan pengguna," jelasnya.

Sementara itu, di Sri Aman, KPDNHEP cawangan itu telah menjalankan pemeriksaan harian ke atas premis DDR serta DDW yang melibatkan barang kawalan dan keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, telur ayam, bawang, susu tepung dan sayur.

Tegasnya, sehubungan itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan bersubsidi boleh menyalurkan aduan di talian 019-2794317/019-8488000 atau ke portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my

Selain itu, aduan boleh disalurkan melalui pusat panggilan 1-800-886-800 atau e-mel [email protected].

Advertisement