Anda di sini

Pulau Batu Puteh: MB Johor mahukan tindakan undang-undang kepada pengkhianat

Advertisement
 

ISKANDAR PUTERI: Tindakan undang-undang perlu diambil ke atas pengkhianatan yang telah menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar).

Beliau berkata kekhilafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu yang menarik balik rayuan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh bukan sahaja meninggalkan satu duluan atau 'precedent' yang buruk, tetapi turut mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara yang berdaulat.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, tiada ruang untuk pemimpinnya mengambil ringan atau alpa dalam mempertahankan kedaulatan negara, walaupun sekecil atau sekelumit saiz kawasan yang menjadi rebutan, setiap inci perlu kita jaga dan pertahankan. 

“Kerajaan PH pada masa itu telah khilaf dengan menarik balik rayuan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh dan ia bukan sahaja telah meninggalkan satu precedent yang buruk kepada negeri dan negara, tetapi lebih daripada itu mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara kita yang berdaulat. 

“Semoga tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianatan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata meskipun ada pihak beranggapan Pulau Batu Puteh yang berkeluasan saiz sebesar padang bola iaitu 8,560 meter itu tidak memiliki kepentingan ekonomi yang signifikan, namun ia mempunyai kepentingan dari sudut kedudukan strategik maritim serta terletak begitu dekat dengan Johor, iaitu 14.3 kilometer dari Tanjung Penyusop, Johor berbanding 46 kilometer dari Changi, Singapura.

Pada16 Jun lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan kerajaan Persekutuan kerana membatalkan rayuan tuntutan Pulau Batu Puteh pada tahun 2018. - BERNAMA
 

Advertisement