Anda di sini

Potong gaji menteri bukan penyelesaian kenaikan kos sara hidup rakyat

Advertisement
 

KUALA NERANG: Cadangan pemotongan gaji dan elaun menteri bukan penyelesaian yang dapat membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sebaliknya keadaan itu perlu ditangani dengan kaedah-kaedah lebih berkesan termasuk seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkaitan tarif elektrik dan harga ayam.

"Pelbagai usaha telah dibuat oleh Perdana Menteri dan pasukan dalam Kabinet khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang seperti Kementerian Kewangan, yang berkaitan dengan ekonomi, perdagangan, pertanian dan kerja raya.

"Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan mencari jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri semalam mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Tualak, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang mencadangkan pemotongan gaji menteri bagi menunjukkan empati terhadap negara ketika rakyat bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19 dan krisis Rusia-Ukraine.

Mahdzir berkata pengekalan harga petrol RON95 pada RM2.05 seliter juga merupakan antara langkah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai idea yang dapat membantu rakyat berkaitan kos sara hidup, mereka dialu-alukan mengemukakannya kepada kerajaan dan perdana menteri. - BERNAMA 

Advertisement