Anda di sini

Penganjuran pelbagai program kukuhkan perpaduan kaum 

Advertisement
Johnny (enam kanan), Arbah, Sabri (empat dan tiga kiri) serta tetamu dan guru memperlihatkan keceriaan dan tanda bagus terhadap penganjuran RIMUP serta turut disajikan dengan pelbagai juadah makanan.
Johnny (enam kanan), Arbah, Sabri (empat dan tiga kiri) serta tetamu dan guru memperlihatkan keceriaan dan tanda bagus terhadap penganjuran RIMUP serta turut disajikan dengan pelbagai juadah makanan.

BINTULU: Penganjuran pelbagai program mampu mengukuhkan hubungan pelbagai kaum di negeri ini dan merupakan kaedah terbaik memastikan keamanan dan kemakmuran Sarawak terus terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang memuji usaha pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjayakan program bagi meningkatkan kerjasama dan perpaduan kaum dalam kalangan warga sekolah.

Katanya, program seumpama itu perlu diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia menerap nilai perpaduan dan integrasi membawa kesejahteraan pelbagai kaum di negara ini.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PIBG SK Asyakirin kerana menjemput saya menghadiri majlis ini," katanya ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Gawai 2022 di bawah Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Sekolah Kebangsaan (SK) Asyakirin di sini semalam.

Beliau berharap murid-murid yang mengikuti aktiviti sekolah dan PIBG dapat membudayakan sikap penyayang dan saling menghargai antara satu sama lain meskipun berlainan agama dan bangsa.

Sementara itu, Guru Besar SK Asyakirin Arbah Tusin berkata, sambutan dua perayaan itu merupakan program tahunan sekolah itu memupuk semangat perpaduan dan jalinan kemesraan komuniti setempat dan agensi luar untuk sekolahku sejahtera dan keluarga besar Keluarga Malaysia bersilang budaya.

"RIMUP menggalakkan penglibatan masyarakat, guru dan murid dalam kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan serta peralatan sekolah.

"RIMUP melahirkan generasi Malaysia berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibah dan mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu," jelasnya. 

Beliau berkata, RIMUP juga menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, guru dan murid peringkat sekolah rendah hingga menengah dalam kegiatan khas secara bersama. 

Menurutnya, ia mewujudkan sikap kerjasama, tolong menolong dan suasana muhibah secara sedar dan terancang serta melahirkan persefahaman dan toleransi murid pelbagai kaum. 

Arbah mencadangkan agar SK Assyakirin dijadikan 'sekolah angkat' wakil rakyat sekali gus berharap wakil rakyat itu dapat membantu sekolah dalam pengumpulan dana kerja-kerja menaik taraf lantai rosak dan berlubang-lubang dalam kelas.

Senada dengannya, Yang Dipertua PIBG SK Asyakirin Mohamad Sabri Zaidil berkata PIBG sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah serta menjalankan peranan  memastikan segala program dan permasalahan termasuk soal pembangunan sekolah diselesai dan dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau bersetuju dengan cadangan guru besar tersebut agar wakil rakyat terbabit menjadikan SK Asyakirin sebagai sekolah angkat sekali gus memohon wakil rakyat sentiasa membantu PIBG dan sekolah dari segi sokongan sumber kewangan dan lain-lain.

Terdahulu, simbolik perasmian memotong 'ranyai' melambangkan perayaan Hari Gawai sampai ke penghujungnya termasuk menyempurnakan acara Ngiling Bidai Gawai oleh Johnny dan guru. 

Johnny turut menyampaikan hadiah dan cenderamata, berkunjung ke lima gerai mengikut kelas prasekolah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bermula dari tahun enam.

Aktiviti lain adalah pertandingan gerai cantik, karaoke, pakaian terbaik tetamu lelaki dan wanita untuk Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

Hadir sama Dzulfikhar Awang dari Unit Pembangunan Bakat Murid Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu, penolong-penolong kanan SK Asyakirin, exco PIBG, wakil sekolah lain, warga pendidik, ibu dan penjaga.
 

  • oleh
  • Advertisement