Anda di sini

Pasangan suami isteri berjaya tamatkan pengajian PhD

Advertisement
 Suhairullah dan Fadzilah selepas menerima ijazah PhD, semalam.
TAHNIAH: Suhairullah dan Fadzilah selepas menerima ijazah PhD, semalam.

KOTA KINABALU: Kesibukan kerja dan mengurus empat orang anak tidak menghalang pasangan suami isteri menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Dr. Suhairullah Omar Ramih dan isterinya Dr. Fadzilah Patman antara graduan yang dirai dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23, semalam.

Pasangan yang mula melanjutkan pengajian PhD pada tahun 2018 mengakui melalui banyak cabaran sebelum berjaya menamatkan pengajian tahun lalu.

Menurut Suhairullah, mereka perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya dalam membahagikan masa antara anak dan tugasan.

“Walaupun isteri saya bergelar seorang penuntut, namun dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya untuk menjaga anak-anak kami yang baharu berumur 11, 8 dan 3 tahun serta yang masih kecil, dua bulan.

“Sepanjang pengajian hingga bergraduasi hari ini, Fadzilah dua kali melahirkan anak sebelum berjaya menamatkan PhD ini,” katanya.

Fadzilah yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Rugading, Tuaran juga turut berasa gembira kerana dapat menamatkan pengajian bersama suami.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu menghabiskan pengajian dengan sokongan ibu bapa dan anak-anak kerana terpaksa menerima serta memahami situasi kami.

“Kami berjanji akan meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak bagi menggantikan tempoh tiga tahun yang dikorbankan sebelum ini,” katanya.

Pasangan ini menerima skrol ijazah PhD masing-masing pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMS di Dewan Canselor, di sini semalam.

  • oleh
  • Advertisement