Anda di sini

Manfaatkan tanah untuk pertanian secara komersial, guna teknologi moden

Advertisement
Abang Johari menyempurnakan upacara 'Ngiling Bidai' simbolik penutupan Gawai pada majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022. Turut kelihatan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Gerawat serta tetamu kehormat yang lain. - Gambar oleh Chimon Upon
Abang Johari menyempurnakan upacara 'Ngiling Bidai' simbolik penutupan Gawai pada majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022. Turut kelihatan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Gerawat serta tetamu kehormat yang lain. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Masyarakat Dayak di Sarawak perlu memanfaatkan aset tanah yang dimiliki dengan menjalankan pertanian secara komersial menggunakan teknologi moden.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanah tersebut harus diberikan nilai tambah bagi memberi manfaat kepada pemiliknya.

“Jangan biarkan tanah tidak diusahakan, kita perlu memanfaatkannya untuk pertanian secara komersial bagi menghasilkan produktiviti yang baik dengan menggunakan teknologi moden.

"Ini termasuk menggunakan proses digitalisasi dalam usaha kita untuk mengeluarkan banyak lagi makanan dan komoditi lain,” katanya pada majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022 di sini, malam Sabtu.

Melihat keadaan dunia yang sedang menghadapi krisis makanan,  Abang Johari berkata, Sarawak tidak menghadapi masalah untuk menjadi negeri pengeluar makanan kerana memiliki tanah yang luas.

“Dengan syarat kita tahu bagaimana untuk menggunakan aset tanah dengan sebaiknya melalui perancangan struktur dan juga, menggunakan teknologi moden."

Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak mempunyai banyak sumber yang juga merupakan aset penting kepada negeri ini.

“Dari segi ekonomi, sumber ini sangat penting dengan syarat kita tahu cara mengurusnya dan pada masa sama, menambah nilai  kepada aset yang sedia ada. 

“Dalam hal ini, kita sedaya upaya  untuk menambah nilai kepada pelbagai sumber yang ada di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan untuk menambahkan peruntukan kepada Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) seperti yang dimohon oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala.

Sambutan Gawai Dayak tahun ini yang bertemakan Segulai Sejalai turut dihadiri isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang bersama kira-kira 2,000 tetamu yang lain. 

Pelbagai aktiviti disediakan dengan komuniti Orang Ulu diberi penghormatan sebagai tuan rumah penganjur utama sambutan Gawai Dayak Negeri kali ini.

  • oleh
  • Advertisement