
SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia menyertai federasi mengikut keutamaan khususnya sektor pertanian dan perladangan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Muslimin Yahaya (gambar) berkata langkah itu adalah bagi tujuan pengumpulan modal, kepakaran serta sumber untuk membolehkan ia terlibat menghasilkan pengeluaran dalam skala lebih besar.
“Konsep federasi iaitu dua atau tiga koperasi yang menjalankan perniagaan sama, misalnya penternakan lembu, kita gabungkan supaya mereka dapat mengeluarkan input yang besar.
“Kita nak matlamat mereka sama. Penglibatan dalam federasi juga akan meningkatkan pendapatan dan menambah baik tadbir urus koperasi,” katanya selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sembilan dan sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut mengulangi bahawa mana-mana koperasi berfokuskan sektor pertanian dan perladangan akan diberi keutamaan mendapatkan pembiayaan tanpa karenah bagi menggerakkan sektor itu sekali gus sebagai langkah berdepan kemungkinan krisis makanan pada masa hadapan.
Muslimin juga berkata Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) menyediakan lebih 4,000 hektar tanah bagi tanaman jagung yang mampu mendatangkan hasil empat hingga lima tan setiap hektar dan diproses menjadi makanan ayam sekali gus menampung 20 peratus keperluan produk itu di seluruh negara.
“Masalah besar kita ketika ini ialah harga ayam yang sangat mahal kerana input mahal, kita terpaksa import dari luar, jadi bila harga input naik, ia menjadi bebanan kepada rakyat,” katanya sambil menambah terdapat lebih 50 ahli koperasi yang terlibat dalam sektor itu di seluruh negara.
Beliau berkata KUSKOP turut menggalakkan ahli koperasi menceburi sektor peruncitan melalui penubuhan COOP Community Mart dengan menyasarkan 120 koperasi di seluruh negara tahun ini.
Terdahulu, Muslimin menyerahkan bantuan pembangunan koperasi bernilai RM405,000 kepada wakil lapan koperasi di Negeri Sembilan. - BERNAMA