Anda di sini

Jumlah keseluruhan subsidi 2022 dijangka hampir RM80 bilion, terbesar dalam sejarah

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion bagi  2022 yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-100 yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap rakyat, kerajaan telah memberi pelbagai subsidi kepenggunaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.

“Secara keseluruhan, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

“Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kebajikan masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya, jumlah keseluruhan subsidi dijangka menghampiri RM80 bilion bagi 2022 yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata kerajaan tetap melaksanakan dasar yang secara amnya bertujuan untuk membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang terlalu mendadak, dan pada masa yang sama membantu golongan yang perlu dari segi bantuan langsung.

Dasar itu dilihat telah menghasilkan satu situasi yang dikira terkawal, terutamanya apabila dibandingkan dengan negara-negara lain, katanya.

“Kajian penamatan subsidi menyeluruh dan penyaluran semula penjimatan tersebut kepada golongan yang benar-benar memerlukan adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memastikan kemampanan fiskal negara dalam jangka sederhana dan panjang,” kata beliau.

Menteri Kewangan berkata sejumlah besar dana kerajaan telah dibelanjakan bagi menangani impak pandemik, termasuk menyelamatkan nyawa rakyat melalui program vaksinasi kebangsaan, serta mengekalkan pekerjaan dan kapasiti perniagaan melalui Program Subsidi Upah (PSU).

Katanya, dalam usaha membina semula dana dan daya tahan fiskal negara, penamatan subsidi menyeluruh mencerminkan sikap adil dan bertanggungjawab kerajaan dalam memastikan nasib golongan B40 terbela.

Pada masa yang sama, beliau berkata Kementerian Kewangan juga sedang mengkaji semula sumber-sumber fiskal negara yang perlu dimantapkan bagi membina semula daya tahan sosioekonomi Malaysia, terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

“Pandangan jauh kerajaan ini juga bertujuan mengurangkan beban keberhutangan anak-anak dan cucu-cucu kita di masa hadapan,” tambahnya.

Sementara itu, menurut laporan itu, sebanyak 92 syarikat telah memohon Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) setakat 10 Jun dengan jumlah jaminan yang telah diluluskan sebanyak RM2.080 bilion untuk 61 syarikat.

Melalui PSU pula, kerajaan secara keseluruhannya telah menyalurkan lebih RM20 bilion kepada lebih 350,000 maiikan bagi mengekalkan penggajian hampir tiga juta pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran.

Di bawah PSU 4.0, sebanyak RM2.555 bilion telah disalurkan kepada 163,431 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1,916,733 pekerja setakat 10 Jun.

Sebanyak RM183.123 juta telah disalurkan kepada 7,385 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 105,300 pekerja dibawah PSU 5.0 bagi tempoh yang sama. - BERNAMA
 

Advertisement