Anda di sini

ILPKK unggul lahir graduan kebolehpasaran dalam industri

Advertisement
 Mat Setia (tiga kiri), Joachim (tengah), Pengarah ILPKK Sudirman Hammade (empat kanan) merakamkan gambar kenangan bersama graduan terbaik ILPKK.
KENANGAN: Mat Setia (tiga kiri), Joachim (tengah), Pengarah ILPKK Sudirman Hammade (empat kanan) merakamkan gambar kenangan bersama graduan terbaik ILPKK.

KOTA KINABALU: Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) sentiasa unggul dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran ke arah pembangunan kepelbagaian industri di Sabah.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Kementerian Sumber Manusia Mat Setia Mohd Raji berkata, sehingga kini sejak awal operasinya pada 2001 ILPKK telah berjaya melahirkan seramai 10,168 orang graduan.

"Setiap pelatih berjaya dalam bidang masing-masing dengan kadar kebolehpasaran graduan yang dicapai setiap tahun melebihi 90 peratus. 

"Pada Majlis Konvokesyen ILJTM kali Ke-25 tahun 2022 ini, kadar kebolehpasaran graduan adalah sebanyak 97 peratus.

"Ini menunjukkan penerimaan yang tinggi oleh majikan terhadap graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) khususnya ILPKK," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen ILJTM kali Ke-25 peringkat ILPKK, di sini kelmarin.

Beliau berkata, ILPKK dan agensi-agensi penyedia latihan yang lain mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mencapai matlamat negara untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET).

Katanya, melalui Rancangan Malaysia ke-12 disasarkan 55 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran dalam program TVET menjelang tahun 2025.

"Manakala menerusi ‘Wawasan Kemakmuran Bersama’ kerajaan telah mensasarkan seramai 35 peratus daripada tenaga kerja negara adalah dalam kategori tenaga kerja mahir.

"Kita berbangga kerana ramai dalam kalangan graduan dari sini berjaya memasuki pasaran 
kerja dalam sektor minyak dan gas dan meraih pendapatan  yang tinggi.

"Tidak kurang juga hebatnya mereka yang beralih daripada pasaran kerja dan menjadi usahawan dalam sektor industri terpilih seperti teknologi maklumat, automotif dan elektrik," katanya.

Beliau menasihatkan para graduan untuk memikirkan matlamat yang mahu dicapai dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

Mat Setia juga menyeru para graduan agar mengenal pasti kebolehan masing-masing, gunakan sepenuhnya ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa belajar ILJTM sebagai asas untuk bertapak dalam sesuatu bidang.

"Teruskanlah usaha untuk belajar dan mendalami dalam bidang tersebut sehingga saudara dan saudari boleh sampai ke tahap pakar," katanya.

Seramai 546 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran akan memperoleh diploma dan sijil pada Majlis Konvokesyen ILJTM kali ke-25 ini. 

Turut disampaikan pada majlis tersebut adalah Anugerah Graduan Terbaik dari setiap sesi keluaran yang dipilih berdasarkan pencapaian tertinggi pelajar dalam bidang akademik dan ko-kurikulum serta Anugerah Tokoh Alumni. 

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Joachim Gunsalam.

  • oleh
  • Advertisement