Anda di sini

Ibu sebak terima PhD mendiang anak

Advertisement
 Cheng mewakili mendiang anaknya menerima skrol PhD daripada Tun Juhar.
SEBAK: Cheng mewakili mendiang anaknya menerima skrol PhD daripada Tun Juhar.

KOTA KINABALU: Seorang ibu terharu mendengar nama mendiang anaknya, Ng Yi Ming, 35, graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), diumumkan di pentas Majlis Konvokesyen UMS ke-23, di sini semalam.

Ng Yi Ming yang sempat menghabiskan pengajian PhD dalam bidang psikologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) meninggal dunia tahun lalu akibat masalah jantung.

Cheng Lak Mooi, 65, ibu kepada mendiang menerima skrol bagi pihak anaknya yang disampaikan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata, dia sangat gembira kerana dapat memenuhi hasrat anaknya untuk hadir dan menerima skrol bagi pihaknya.

“Sebelum menerima PhD, dia juga telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian Psikologi Industri dan Organisasi di UMS, dan Ijazah Sarjana Sains Psikologi Perkembangan Kanak-kanak dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Anak saya seorang yang rajin dan cekal, kami sangat berbangga kerana dia telah berjaya melangkah sangat jauh sehingga ke tahap ini walaupun sedang menderita penyakit jantung,” katanya.

Cheng turut menceritakan yang mendiang telah membuat pembentangan Viva pada 21 Januari 2021 dan diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat pembetulan tesis sebelum dihantar.

Bercerita mengenai penyakit jantung yang dihidapi anaknya, Cheng berkata, mendiang pernah menjalani rawatan pembedahan penggantian injap pada bulan September 2014.

“Setelah menjalani pembedahan besar yang berisiko tinggi itu, mendiang sering mengalami masalah ‘heart palpitations’.

“Dia menghembuskan nafas terakhir pada 21 Februari 2021 setelah lebih 20 tahun menderita penyakit mitral valve prolapse,” katanya.

Untuk rekod, mendiang dianugerahkan ijazah secara anumerta dan salah seorang daripada 77 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dirai pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23.

  • oleh
  • Advertisement