Anda di sini

Golongan berpendapatan rendah semakin terhimpit

Advertisement

KUCHING: Keadaan ekonomi yang sedang meruncing masa kini menjadi keresahan setiap lapisan masyarakat di negara ini lebih-lebih lagi harga barang keperluan melonjak secara mendadak ditambah beberapa subsidi dihapuskan.

Masyarakat yang terkesan sudah tentu mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di mana barang keperluan yang sebelum ini agak sukar untuk dibeli, ditambah beberapa susbsidi dihapuskan sekali gus menjadikan keadaan mereka semakin rumit.

Selain itu, bagi peniaga yang menggunakan bahan seperti telur, ayam, tepung dan sebagainya yang kini mengalami kenaikan harga sudah tentu mereka tidak dapat kekal menjual pada harga lama, setuju atau tidak harga jualan mereka perlu dinaikkan.

Kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang kian meningkat hari ini seperti tiada siapa yang mampu mengawalnya sekali gus menjadikan rakyat negara ini tertekan dengan apa yang berlaku.

 

Bagi Syamimi Husna Sabri (gambar), 25, kenaikan harga barang keperluan menjadi satu fenomena yang menghantui kehidupan rakyat sekali gus menjadikan rakyat gelisah terumata mereka yang berpendapatan rendah. 

"Ini kerana bagi mereka yang kurang berkemampuan, situasi ini sudah tentu memberi kesan terhadap kos sara hidup dan kuasa membeli mereka turut terjejas.

"Kerajaan sepatutnya memperhalusi mekanisme yang lebih sesuai dalam mengawal kenaikan harga barang secara mendadak ini sebelum bertindak membuat sebarang keputusan yang lebih telus," katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, hari ini.

Katanya, ketika mencari mekanisme mengawal harga barang kawalan, kerajaan juga perlu mengawal selia kenaikan ini dalam mengimbangi kadar inflasi tinggi.

 

Selain itu, Muhamad Hadriss Gapur (gambar), 30, berkata kenaikan harga barang keperluan yang agak tinggi menjadikan setiap lapisan rakyat semakin berasa dihimpit bebanan yang ditanggung.

"Bagaimanapun saya berharap kerajaan mempunyai kaedah terbaik dalam membendung situasi sukar yang berlaku ketika ini.

"Rakyat turut berharap agar keadaan ini hanya bersifat sementara berikutan mengambil kira pelbagai faktor luaran dan dalaman yang berlaku di seluruh dunia," jelasnya.

Katanya, bagi rakyat sendiri perlu mengamalkan sikap berbelanja dengan berhemah dan mengamalkan gaya hidup berjimat cermat pada masa ini sebelum krisis ini berlaku dengan lebih serius.

 

Sementara itu, Mohd Nazirul Haziq (gambar), 26, berkata, rakyat negara ini harus bijak membeli serta mengamalkan konsep berjimat cermat dalam berbelanja.

Katanya, dia percaya kerajaan kini berusaha sepenuhnya mengawal kenaikan harga barang supaya situasi ini tidak bertambah kritikal.

Haziq yang turut berkecimpung dalam bidang perniagaan turut terasa beban yang ditanggung berkaitan bahan keperluan untuk menyediakan juadah makanan.
 

  • oleh
  • Advertisement