Anda di sini

Gerawat yakin Abang Johari terus terima keyakinan, kepercayaan penuh masyarakat Dayak

Advertisement
Gerawat ketika menyampaikan ucapan. - Gambar Penerangan
Gerawat ketika menyampaikan ucapan pada majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022. - Gambar Penerangan

KUCHING: Masyarakat Dayak mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Premier Sarawak untuk memimpin negeri ini bagi menghadapi cabaran yang akan mendatang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala berkata, ini terbukti menerusi pelbagai dasar dan program pembangunan kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan taraf hidup serta ekonomi penduduk luar bandar termasuk komuniti Dayak Sarawak.

Antaranya, kata beliau, terdapat program berterusan untuk memastikan sambungan jalan raya untuk kawasan luar bandar yang melibatkan kos bilion ringgit dilaksanakan demi manfaat rakyat.

“Selain itu, penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) juga merupakan bukti kerajaan negeri mengiktiraf dan menghormati kebebasan beragama, dan keperluan untuk menjaga kesejahteraan rohani dan keagamaan masyarakat bukan Islam.  

“Penubuhan UNIFOR ini adalah yang pertama di Malaysia dan ia amat  dialu-alukan serta dihargai oleh masyarakat Dayak kita. Ini adalah bukti dasar keterangkuman Premier Sarawak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, malam Sabtu.

Gerawat berkata, masyarakat Dayak amat berterima kasih dan menghargai keyakinan Premier Sarawak terhadap kepimpinan politik masyarakat melalui perwakilan utama dalam kabinet negeri.

 “Kita mempunyai Timbalan Premier Sarawak daripada wakil Dayak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua.

“Malah, kita juga ada Dato Sri Dr Stephen Rundi yang merupakan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah; Datuk Roland Sagah Wee Inn selaku Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat; Datuk John Sikie selaku Menteri di Jabatan Premier Sarawak dan sebilangan timbalan menteri termasuk saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, portfolio kabinet yang diberikan kepada mereka adalah relevan dan antara pemacu utama pembangunan kawasan luar bandar yang merupakan nadi masyarakat Dayak.

Selain itu, katanya, program seperti Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan  Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) turut diwujudkan.

Ia katanya, bagi mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi dan kemajuan masyarakat Dayak luar bandar.

Sehubungan itu, beliau percaya masyarakat Dayak akan terus menyokong  kerajaan negeri yang dipimpin oleh Premier Sarawak yang berwawasan, inovatif dan pragmatik.

“Premier Sarawak telah membuktikan dirinya sebagai seorang yang berwawasan, bijak,  inklusif dan pemimpin yang berani untuk seluruh rakyat Sarawak,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement