Anda di sini

Fasa ketiga pembangunan Pasar Minggu Lutong dijangka dilaksanakan tahun ini 

Advertisement
Ting menyampaikan Kotak Ziarah UKAS mengandungi tiga jenis kuih tradisional sempena program Ngabang Gawai 2022 kepada peniaga Pasar Minggu Lutong sambil diiringi Pegawai UKAS Miri Dayang Norazelina Hamdan. 
Ting menyampaikan Kotak Ziarah UKAS mengandungi tiga jenis kuih tradisional sempena program Ngabang Gawai 2022 kepada peniaga Pasar Minggu Lutong sambil diiringi Pegawai UKAS Miri Dayang Norazelina Hamdan. 

MIRI: Fasa ketiga pembangunan Pasar Minggu Lutong dijangka dilaksanakan tahun ini dengan kos dianggarkan lebih RM150,000 bagi menambah keselesaan peniaga dan pengunjung. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, pembangunan fasa ketiga itu merangkumi pembinaan tapak berniaga berbumbung (tambahan kepada fasa satu dan dua) serta tempat letak kereta. 

"Saya sudahpun memasukkan pembangunan fasa ketiga itu di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos dianggarkan sekitar RM150,000 hingga RM180,000. 

"Saya yakin kita dapat mulakan projek ini dalam tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menjayakan Program Ziarah Gawai anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pasar Minggu Lutong di sini, hari ini.

Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Piasau itu berkata, seperti disaksikan pasar itu amat popular bukan sahaja dalam kalangan peniaga malah pengunjung. 

Justeru katanya, beliau merancang memperbesar pasar itu kepada fasa tiga bagi menampung jumlah peniaga. 

"Selain itu, kita merancang membina tempat letak kereta dalam fasa tiga dan jika sambutan semakin bertambah saya rasa kita mungkin perlu buka fasa empat. 

“Kita sudah membangunkan pasar minggu ini dalam dua fasa dengan peruntukan RM200,000 untuk fasa pertama dan sekitar RM200,000 juga untuk fasa kedua. 

"Kawasan ini amat popular dan penuh dengan penjaja dan pengunjung. Tambahan pula ia adalah pasar minggu, jadi setiap hujung minggu mereka turun berjual pelbagai produk dan hasil tanaman dan hutan di pasar ini sebagai menambah pendapatan mereka," jelasnya. 

Ting berkata, beliau amat faham dengan situasi cukup sukar dihadapi orang ramai terutama selepas dua tahun berdepan pandemik COVID-19, penduduk kini berusaha memulihkan keadaan ekonomi mereka dengan berniaga sebagai mata pencarian tambahan. 

Justeru, beliau merancang memberi keselesaan kepada mereka dengan memperbesar pasar tersebut agar lebih ramai dapat mengambil bahagian. 

Ketika ini, pasar tersebut dapat menampung 100 peniaga dan masih ramai berniaga di luar kawasan berbumbung dengan membawa khemah sendiri. 

Mengenai Program Ziarah Gawai UKAS kali ini, Ting memberitahu, sebanyak 100 kotak Ziarah UKAS mengandungi kuih tradisional serta pek makanan (100 bungkus) diagihkan kepada peniaga serta orang ramai yang berkunjung ke pasar tersebut. 

"Program Ziarah UKAS ini kita adakan di sini sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang  merupakan satu perayaan penting disambut masyarakat Dayak di Sarawak.

"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada UKAS dan syabas kerana selain salah satu agensi kerajaan di bawah Jabatan Premier Sarawak bertanggungjawab menyebarkan maklumat serta dasar-dasar kerajaan kepada rakyat, ia turut bersama turun padang bagi menyantuni segenap lapisan masyarakat," katanya. 

Manakala Pusat Khidmat DUN Piasau turut mengambil bahagian mengedarkan lebih 500 bungkus mengandung pelitup separuh muka dan tisu basah untuk kebersihan dan pencegahan COVID-19 kepada orang ramai di Pasar Minggu dan sekitar Pasar Lutong. 

Advertisement