Anda di sini

Dua projek jalan raya bakal dilaksana di Tongod

Advertisement
Masiung (kanan) menandatangani papan tanda Tagal Tradisi sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim (kiri).
Masiung (kanan) menandatangani papan tanda Tagal Tradisi sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim (kiri).

TONGOD: Penantian lebih 50 tahun penduduk kawasan Kuamut memiliki dua projek jalan raya merentasi pantai timur-pedalaman di daerah ini bakal menjadi kenyataan dalam tempoh kurang dari lima tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, gabungan kedua-dua rangkain jalan raya berturap itu membabitkan jarak sejauh 102 kilometer.

Katanya, jalan menghubungkan Linyukan dekat sini dan Sinaran di Keningau sejauh 55 kilometer bernilai RM320 juta, manakala satu lagi jalan baharu dari Kampung Imbak ke pusat peranginan tropika di Imbak Canyon sejauh 47 kilometer menelan belanja RM300 juta.

Masiung berkata, fasa pertama laluan Linyukan-Sinaran Keningau kini sudahpun mula dilaksanakan. Sementara jalan Kampung Imbak ke Imbak Canyon dijangka bermula awal tahun depan.

Terdahulu Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan  dan Bandar (LPPB)  melancarkan program Tagal Tradisi anjuran Jabatan Perikanan Sabah dan Lapan Jawatankuasa Tagal di Kampung Entilibon Asal di sini semalam.

"Kedua-dua projek jalan raya ini bakal membawa ledakan ekonomi penduduk termasuk kemunculan pekan baharu yang menjadi mercu tanda daerah Tongod.

"Paling ketara jajaran jalan ini nanti  akan memberi nafas baharu kepada industri pelancongan. Ia adalah berita baik kepada pengusaha pusat peranginan hutan tropika terkemuka iaitu Imbak Canyon," jelasnya. 

Menurutnya, pembinaan jalan raya itu juga impian yang bakal memberi kemudahan pergerakan penduduk dari Tongod ke ibu negeri dengan jarak dekat menerusi Pensiangan dan Keningau.

Masiung berkata, Laluan itu juga bukan sahaja membuka akses perhubungan darat tetapi mewujudkan banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat setiap kawasan laluannya.
 

Advertisement