Anda di sini

Dua menara utama Jambatan Bintulu-Jepak siap dibina 

Advertisement
Johnny (lapan kanan) bersama pegawai dan kakitangan JKR serta PPES Works-CCCC JV Sdn Bhd di hadapan menara utama yang telah siap.
Johnny (lapan kanan) bersama pegawai dan kakitangan JKR serta PPES Works-CCCC JV Sdn Bhd di hadapan menara utama yang telah siap.

BINTULU: Upacara meraikan kejayaan siapnya pembinaan dua menara utama jambatan berketinggian 90 meter diadakan dengan sederhana oleh dua syarikat pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak membabitkan usaha sama PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd (PPES Works) dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCC) petang semalam.

Upacara itu diadakan di tapak pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak, Jalan Abang Galau di pusat bandar di sini, disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang serta dihadiri pegawai dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dua syarikat terbabit.

Johnny berkata, upacara meraikan kejayaan itu menandakan usaha sama syarikat terbabit menyiapkan pembinaan menara utama berketinggian 90 meter untuk Jambatan Bintulu-Jepak.

"Jambatan itu tidak hanya sebagai mercu tanda ikonik bandar Bintulu malah membantu mempromosikan perkembangan pembangunan di bandar Bintulu," katanya ketika meraikan kejayaan itu.

Projek pembinaan jambatan terbabit dilaksanakan PPES Works-CCCC JV Sdn Bhd dan dilancarkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa sambutan Hari Sarawak di Bintulu pada 22 Julai 2019.

Jambatan Bintulu-Jepak antara projek diberi pengawasan oleh Coastal Second Trunk Road Unit dengan nilai kontrak RM466,679,497.

Projek bermula 3 April 2019 dan majlis pelancarannya pada 22 Julai 2019 dengan tempoh masa menyiapkannya ialah 48 bulan dan dijangka siap pada penghujung 2023.
 
Apabila jambatan tersebut siap, jarak laluan menghubungkan bandar Bintulu ke Lapangan Terbang Bintulu lebih dekat daripada 25 kilometer (km) kepada 10km sekali gus membawa pembangunan pesat ke Jepak dan kawasan pesisir. 
 

Advertisement