Anda di sini

Dayak diseru terus mempertahankan budaya tradisi

Advertisement
Dr Rayong bergambar kenangan dengan JKKK Rumah Mangku di Sungai Keroh semalam. Turut kelihatan ialah Mangku (berdiri tujuh kiri).
Dr Rayong bergambar kenangan dengan JKKK Rumah Mangku di Sungai Keroh semalam. Turut kelihatan ialah Mangku (berdiri tujuh kiri).

ENGKILILI: Masyarakat Dayak terutama kaum Iban diseru terus mempertahankan budaya tradisi agar tidak pupus ditelan zaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, kepesatan pembangunan yang diburukkan dengan kehadiran teknologi gajet canggih masa kini seharusnya tidak mengetepikan budaya dan amalan tradisi terutama yang berkait rapat dengan sambutan perayaan Gawai Dayak.

"Ia merangkumi acara dan budaya sebelum sambutan 1 Jun, semasa sambutan dan beberapa hari selepas perayaan Hari Gawai yang menjadi acara paling besar dalam kalendar kaum Dayak yang membentuk komuniti paling besar di Sarawak," katanya.

Katanya, tidak kira anda siapa, besar pangkat dan darjat, tua dan muda patut berbangga lahir sebagai orang Dayak dan perlu ada jati diri mempertahankan budaya Dayak/Iban yang semakin hari terhakis oleh penyusupan budaya asing ke dalam tradisi sambutan Gawai.

Dr Rayong yang merupakan Ketua Pemuda Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata demikian semasa menjadi tetamu Majlis Ngiling Tikai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Mangku, Sungai Keroh, Engkilili yang dihadiri lebih 300 tetamu termasuk tuai rumah dan tetamu jemputan.

Ujarnya, agak menyedihkan banyak amalan tradisi kaum Iban yang sepatutnya dipertahankan ketika perayaan Gawai selain Ngiling Bidai semakin dilupakan terutama oleh generasi muda kita.

"Ramai antara kita tidak peduli atau buat-buat tak endah pelenyapan budaya kita yang patut dipertahan seperti Ajat Iban, berpantun, batak lampung, besungai, beganu malah ada yang dibuat acuh tak acuh seperti upaya Miring, beranyai yang diganti karaoke, poco-poco dan tarian moden lain," katanya.

Katanya, tidak salah menyelitkan acara moden sebagai aktiviti sampingan namun jangan sesekali mengetepikan acara tradisi seperti yang dinyatakan agar generasi akan datang tahu asal asul dan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang.

"Kita masih ingat berlaku satu kontroversi dalam satu majlis Ngiling Bidai anjuran sebuah parti politik tempatan di Sibu dengan tetamu dihiburkan dengan tarian 'cowboy' yang tidak sepatutnya berlaku dalam majlis Gawai kita.

"Masyarakat tentu tidak membantah jika tarian cowboy itu acara dalam majlis keramaian biasa, majlis perkahwinan atau majlis parti persendirian namun janggal bila dimasukkan dalam acara seperti Ngiling Bidai sebab ia lari daripada motif asal sambutan penutup Gawai kita," katanya.

Bercakap lanjut, Dr Rayong menggesa rakyat terus bersatu di belakang beliau dan parti dalam memperjuangkan agenda rakyat yang semakin hari semakin terhimpit oleh kenaikan harga barang dan masalah kegagalan parti yang membentuk kerajaan dalam menyalur bantuan kepaa rakyat.

"Saya berharap rakyat khususnya pengundi dan rakyat Engkilili mempelbagaikan aktiviti pertanian masing-masing bagi berhadapan dengan kenaikan mendadak harga barang tanpa subsidi selepas 1 Julai ini," tegasnya.

Katanya, rakyat perlu berbelanja secara berhemah dan perlu bersuara bijak dalam pilihan raya akan datang agar hak dan kebajikan mereka diberi perhatian selepas ini.

"Saya sangat memahami jerih perih rakyat terutama kaum kita di luar bandar yang sangat terkesan dengan kenaikan harga barang tanpa subsidi selepas ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement