Anda di sini

113 kes baharu COVID-19 Sabah 

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Angka jangkitan harian kes COVID-19 di Sabah merekodkan penurunan hari ini iaitu 113 kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan membabitkan penurunan sebanyak 79 kes atau 41 peratus lebih rendah daripada angka semalam.

Katanya, faktor utama yang menyebabkan penurunan ketara angka jangkitan berkenaan berikutan sampel ujian pada hujung minggu yang biasanya lebih rendah daripada hari biasa.

Menurutnya, jumlah sampel ujian hari ini adalah sebanyak 1,710 berbanding 2,044 sampel semalam.

"Hari ini lebih banyak daerah yang mencatatkan penurunan daripada daerah-daerah yang merekodkan jangkitan yang bertambah.

"Sebanyak 13 daerah merekodkan penurunan kes harian berbanding hanya dua daerah yang merekodkan peningkatan kes.

"Angka penurunan yang besar di beberapa daerah utama juga membantu mengurangkan jumlah kes harian di Sabah. Kes-kes baharu di Penampang turun sebanyak 38 kes, Tawau turun 11 kes, Kota Kinabalu turun lapan kes dan Sandakan berkurangan lima kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bilangan daerah sifar bertambah  daripada 12 kepada 18 daerah antaranya Tawau, Keningau, Tenom, Sipitang, Tambunan, Putatan, Kota Marudu, dan Lahad Datu.

Selain itu jelasnya, angka penyusutan kes harian yang begitu besar tidak semestinya bermakna keadaan sudah bertambah baik daripada sebelumnya.

"Bilangan sampel ujian turut menentukan jumlah kes harian kita. Jumlah sampel ujian yang lebih rendah berkemungkinan akan menghasilkan jumlah kes positif yang juga lebih rendah atas andaian kadar positiviti kekal seperti sebelumnya.

"Sebanyak 112 daripada 113 kes yang direkodkan adalah dalam kategori satu dan dua, manakala satu kes dalam kategori empat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement