Anda di sini

Tiga pemandu mabuk ditahan, 13 disaman dalam Op Mabuk

Advertisement
 Salah sebuah kenderaan yang diperiksa dalam Ops Mabuk.
PERIKSA: Salah sebuah kenderaan yang diperiksa dalam Ops Mabuk.

PENAMPANG: Tiga pemandu ditahan selepas memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Kota Kinabalu - Penampang di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Sebanyak 55 kenderaan diperiksa dan hasil operasi berjaya menahan tiga individu selepas melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Ketiga-tiga suspek tersebut ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan.

“Sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya.

Beliau berkata dalam operasi sama pihaknya turut mengeluarkan 13 saman diatas pelbagai kesalahan antaranya, tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan lesen memandu tamat tempoh. 

"Operasi kali ini melibatkan kekuatan seramai seorang pegawai kanan polis yang diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang Inspektor Jupri Usman dengan dibantu oleh 13 anggota polis berjalan dengan lancar dan berakhir jam 3 pagi.

“Seramai 48 individu diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.

  • oleh
  • Advertisement