Anda di sini

Tangan patah semasa latihan

Advertisement
Pemenang pingat perak dari Australia, (dari kiri) Kaylee McKeown, Zac Stubblety-Cook, Matthew Temple dan Shayna Jack berada di atas podium semasa sesi penyampaian pingat pada Kejohanan Akuatik Dunia 2022 di Budapest. — Gambar AFP
Pemenang pingat perak dari Australia, (dari kiri) Kaylee McKeown, Zac Stubblety-Cook, Matthew Temple dan Shayna Jack berada di atas podium semasa sesi penyampaian pingat pada Kejohanan Akuatik Dunia 2022 di Budapest. — Gambar AFP

SYDNEY: Pemenang pingat emas Australia, Shayna Jack akan terlepas satu lagi kejohanan renang dunia selepas tangannya patah semasa latihan, memaksanya bergelut untuk pulih menjelang Sukan Komanwel bulan depan. 

Perenang berusia 23 tahun itu teruja untuk memenangi pingat dalam acara 100 meter gaya bebas wanita di Budapest selepas memberi Australia pingat emas acara berganti 4x100 meter, dan kelmarin dia memuat naik gambar lengan kirinya yang diplaster di Instagram.

“Beberapa jam ini saya terkejut dan tidak percaya,” kata Jack, yang juga memenangi perak dalam renang berganti 4x100 meter campuran pada kemunculan antarabangsa pertamanya sejak menjalani penggantungan dua tahun selepas diuji positif mengambil agen pertumbuhan otot, ligandrol.  

“Saya telah melakukan X-ray yang menunjukkan keretakan di metakarpal ke-4 saya. Ini disebabkan oleh kemalangan aneh semasa pemanasan gaya bebas 100 meter saya yang melibatkan perenang lain.”

Ketua jurulatih Australia, Rohan Taylor memberitahu wartawan bahawa kemalangan itu berlaku semasa Jack sedang memanaskan badan di kolam latihan di Duna Arena. 

“Dia sedang berenang ke dinding dan ada seorang gadis di depannya bersama perenang-perenang lain, berpaling lalu tertolaknya ketika dia tiba, jarinya tersangkut di dalam pakaian renang,” jelasnya.

Jack akan pulang ke rumah untuk menjalani pembedahan dan berkata dia berharap dapat pulih menjelang Sukan Komanwel di Birmingham bulan depan.

Ujian positif dadahnya pada tahun 2019 menconteng arang ke nama perenang Australia itu, hanya beberapa hari selepas juara Olimpik Mack Horton mengadakan protes berprofil tinggi menentang pesaing China, Sun Yang.

Horton enggan berkongsi podium dengan Sun pada kejohanan dunia Gwangju 2019, yang mengimbau kembali insiden Sukan Olimpik Rio 2016 di mana dia melabelkan bintang China itu sebagai “penipu pengguna dadah”.

Jack seringkali mengaku tidak bersalah dan memenangi rayuan agar larangan itu dikurangkan menjadi dua tahun daripada empat setelah Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan memutuskan dia “tidak sengaja atau menggunakan bahan terlarang itu secara melulu”. — AFP 
 

Advertisement