Anda di sini

Sumbangan belia diperlukan jayakan Hala Tuju SMJ

Advertisement
 Joachim (kiri) menyampaikan sijil kepada graduan dalam majlis konvokesyen tersebut.
TAHNIAH: Joachim (kiri) menyampaikan sijil kepada graduan dalam majlis konvokesyen tersebut.

KOTA KINABALU: Golongan belia adalah modal insan yang sangat diperlukan dan terpenting bagi menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joachim Gunsalam berkata sumbangan idea dan tenaga belia menjadi tunjang utama pembangunan dan mampu memenuhi permintaan industri di negeri ini.

“Golongan belia juga dilihat turut membantu kerajaan mengekalkan sektor perindustrian sebagai antara penyumbang utama pembangunan ekonomi negeri Sabah.

“Kerajaan negeri sangat menghargai dedikasi semua pihak, terutamanya Jabatan Tenaga Malaysia bagi memastikan belia mendapat latihan yang mencukupi dan bersesuaian dengan industri,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata demikian semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), di sini hari ini.

Katanya, pelatih ILJTM sangat bertuah kerana mendapat latihan secara percuma sepanjang tempoh pengajian melalui inisiatif Keluarga Malaysia.

“Kerajaan negeri juga sedang berusaha memperkasakan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) khususnya kepada golongan sasar.

“Usaha itu dibuat menerusi pemerkasaan kursus kemahiran, penawaran biasiswa pendidikan serta pelaksanaan Program Bakat dan Keusahawanan Sabah (STEP),” katanya.

Menurutnya, majlis konvokesyen ini diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada semua graduan untuk tetap kompeten setelah memasuki pasaran kerja.

“Ia sekali gus dapat menyumbang kemahiran dan kepakaran yang mereka ada untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.

“Saya yakin, para graduan akan dapat merealisasikan semua hasrat kerajaan negeri ke arah Sabah yang lebih maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Joachim menasihatkan kepada semua graduan supaya jangan memilih pekerjaan, sebaliknya rebut peluang yang ada dengan sebaiknya.

“Graduan perlu membalas jasa orang tua serta menambah baik kehidupan keluarga melalui pendidikan dan pekerjaan yang diperolehi,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement