Anda di sini

SMK Tebobon juara bola sepak MSSD Kota Kinabalu B-18

Advertisement
 Roney Asmadul menyampaikan hadiah kepada pasukan SMK Tebobon Johan Kejohanan MSSD Kota Kinabalu B-18.
JOHAN: Roney Asmadul menyampaikan hadiah kepada pasukan SMK Tebobon Johan Kejohanan MSSD Kota Kinabalu B-18.

KOTA KINABALU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon muncul juara kejohanan bola sepak bawah 18 tahun (B-18) Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Kinabalu kali ke-49 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Sekolah berkenaan menewaskan SMK Sanzac 1-0 di final sekali gus dinobatkan sebagai juara edisi kejohanan kali ini manakala SMK Sanzac sekadar berpuas hati sebagai naib juara.

Sementara itu, SM All Saint dan SM La Salle berkongsi sebagai pemenang tempat ketiga selepas masing-masing kecundang di peringkat separuh akhir.

Terdahulu SMK Tebobon mara ke final selepas menundukkan SM La Salle 2-0 manakala SMK Sanzac menang tipis 1-0 ke atas SM All Saints di separuh akhir.

Kejohanan kali ini dikelolakan bersama oleh Sekolah Menengah (SM) All Saints dan Pejabat Pendidikan (PPD) Kota Kinabalu.

Sebanyak 21 sekolah dari sekitar Kota Kinabalu menyertai kejohanan ini dan ianya berlangsung di dua lokasi iaitu padang Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa dan padang Institut Kemahiran MARA.

Majlis perasmian penutupan kejohanan ini disempurnakan Penolong Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sabah, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Roney Asmadul Bakar.

Dalam ucapannya, beliau menekankan agar semua pemain menanam semangat kesukanan yang tinggi dalam kejohanan ini. 

"Kejohanan ini juga adalah platform terbaik untuk pemain-pemain menonjolkan bakat untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi hingga ke peringkat kebangsaan.

"Ini tidak mustahil jika ada pemain yang menonjolkan bakat luar biasa hingga terpilih mewakili pasukan negara untuk beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.

  • oleh
  • Advertisement