Anda di sini

Sarawak perlu sekurang-kurangnya 600 jurutera kimia

Advertisement
Abang Johari (dua kiri) merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak hari ini. Turut kelihatan, Sabariah (dari kanan), Azhar, Abu Bakar dan Mersal (kiri). - Gambar Penerangan
Abang Johari (dua kiri) merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak hari ini. Turut kelihatan, Sabariah (dari kanan), Azhar, Abu Bakar dan Mersal (kiri). - Gambar Penerangan

KUCHING: Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 600 jurutera kimia apabila operasi loji rawatan gas masam di Taman Perindustrian Petrokimia Bintulu bermula. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tiga hari lepas beliau telah menyaksikan kolaboratif antara syarikat daripada Thailand dan Petronas untuk membangunkan gas masam. 

Menerusi kolaboratif tersebut katanya, sekurang-kurangnya 600 jurutera kimia diperlukan bagi pengoperasian loji tersebut. 

“Di mana kita hendak dapatkan 600 jurutera? Itu hanya untuk satu loji dan kita ada dua loji kerana Shell juga mahu membangunkan sebuah loji. 

“Jika dua loji dibangunkan, maka kita perlukan sekurang-kurangnya 1,200 jurutera,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak di sini, hari ini. 

Gas masam ialah gas asli atau sebarang gas lain yang mengandungi sejumlah besar hidrogen sulfida (H2S) yang boleh didapati daripada bawah tanah. 

Melihat kepada keperluan bagi tenaga jurutera itu, Abang Johari berkata, Sarawak perlu melatih lebih ramai bakat tempatan dalam disiplin yang relevan dengan kehendak industri semasa. 

Katanya, ekonomi Sarawak berkembang baik dengan kemasukan banyak pelabur asing, namun bergantung kepada tenaga kerja luar. 

Sebab itu katanya, kerajaan Sarawak telah meluluskan pengeluaran visa kerja lima tahun kepada pakar asing supaya mereka boleh tinggal lebih lama dan melatih rakyat Sarawak. 

Mengenai pendidikan di negeri ini, Abang Johari berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan beberapa infrastruktur pendidikan daripada peringkat sekolah rendah, menengah hingga pengajian tinggi.
 
Menerusi Yayasan Sarawak pula katanya, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk pinjaman biasiswa kepada pelajar yang kurang berkemampuan. 

Selain itu katanya, beberapa universiti bertaraf antarabangsa turut diwujudkan di negeri ini seperti Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS  untuk memberi peluang kepada pelajar Sarawak menyambung pengajian bertaraf antarabangsa tanpa perlu ke luar negara. 

Dari segi latihan kemahiran pula katanya, Sarawak mempunyai Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bagi melatih anak-anak Sarawak dalam pelbagai bidang yang relevan dengan kehendak industri semasa. 

Pada majlis itu, Abang Johari turut menerima watikah pelantikan CENTEXS sebagai Hab Kolaborasi TVET (TCH) di Sarawak daripada Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman. 

Abang Johari turut menyampaikan hadiah kepada 33 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuching Utara. 

Dalam pada itu, selain Yayasan Sarawak, ekspo pendidikan tersebut turut berlangsung serentak di 42 lokasi lain di seluruh Sarawak melibatkan 12,000 pelajar. 

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan  Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) Datu Dr Sabariah Putit, Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli, Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad serta yang lain. 
 

  • oleh
  • Advertisement