Anda di sini

Potensi lumut hasilkan bahan api bio diketahui enam bulan lagi

Advertisement
Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak, hari ini.
Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak, hari ini.

KUCHING: Hasil penyelidikan mengenai sumber diperbaharui lumut bagi penghasilan bahan api bio dijangka akan diketahui dalam masa enam bulan ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Menurut Abang Johari, jika hasil penyelidikan mendapati bahan api bio daripada lumut dapat dikomersialkan, maka Sarawak akan mengeluarkannya dalam skala besar. 

“Minyak yang dihasilkan daripada lumut dapat dijadikan bahan api untuk kegunaan kapal terbang. 

“Jadi sekarang, penyelidikan sedang dibuat, mungkin dalam masa enam bulan kita dapat hasil daripada penyelidikan ini. 

“Kalau dari segi ekonomi harganya berpatutan dan dapat dikomersialkan, maka kita akan mengeluarkannya secara besar,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak di sini, hari ini. 

Ditanya jenis lumut yang sesuai untuk penghasilan minyak ini, Abang Johari berkata, ia adalah antara perkara yang sedang dikaji ketika ini. 

Sebab itu katanya, Sarawak berkehendakkan ramai saintis dan mereka yang memiliki kepakaran tertentu, bukan sahaja dalam penyelidikan lumut, tetapi juga hidrogen dan gas masam (sour gas) yang hendak dibangunkan.
 
“Bermakna tenaga kerja kita mesti mereka yang ada latihan dalam bidang sains, lebih-lebih lagi pada masa ini yang mana pemanasan global berkehendakkan ramai mereka yang tahu biologi dan kimia. 

“Jangan terlalu ramai mengambil jurusan sains sosial. 
Kita ada ramai graduan sumber manusia. Apa yang kita perlukan adalah untuk anak-anak kita diberi latihan berteraskan sains yang akan menambah nilai kepada lambakan sumber di Sarawak,” katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Abang Johari berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengiktirafan Hab Ekonomi Digital Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sebagai Hab Kolaborasi TVET (TCH). 

Pengiktirafan ini bermakna tahap pembangunan Sarawak sudah menembusi satu tahap yang diiktiraf kerajaan Malaysia dan juga satu tahap yang mana Sarawak boleh membangun ke tahap yang lebih tinggi. 

Sebab itu katanya, apabila beliau melancarkan ekonomi digital pada 2018, beliau berpendapat ia adalah cara untuk Sarawak membangun dalam dunia yang bersaing dan menggunakan pendigitalan sebagai asas aktiviti ekonomi. 
 

  • oleh
  • Advertisement