Anda di sini

Permohonan Willie menyertai PBB belum diteliti: Nanta

Advertisement
Nanta ditemui media selepas melawat kilang pembungkusan minyak masak Teguh Binaniaga Sdn Bhd di Jalan Penrissen di Kuching, hari ini. – Gambar Muhammad Rais Sanusi
Nanta ditemui media selepas melawat kilang pembungkusan minyak masak Teguh Binaniaga Sdn Bhd di Jalan Penrissen di Kuching, hari ini. – Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti komponen terbesar Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum diteliti.

Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang mengesahkan perkara itu berkata, pada masa ini pihaknya belum lagi meneliti dan akan mengadakan mesyuarat pucuk pimpinan PBB berkaitan perkara tersebut.

“Perkara ini (permohonan Willie) tidak boleh diputuskan seorang pemimpin sahaja sebab permohonan ini perlu diperhalusi terlebih dahulu.

“Keputusan yang dibuat itu perlu mengambil kira  pandangan daripada mereka yang sepatutnya memberi pandangan berhubung permohonan Datuk Willie Mongin,” katanya ketika ditemui media selepas melawat kilang pembungkusan minyak masak Teguh Binaniaga Sdn Bhd di Jalan Penrissen di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bila mesyuarat itu diadakan, Nanta berkata, beliau belum lagi mendapat tarikh berhubung perkara itu.

Isnin lalu, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengesahkan telah menghantar permohonan untuk menyertai Parti PBB beberapa bulan lalu.

Willie mendedahkan, beliau selama ini diletakkan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara taktikal bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu.

Ini kerana memandangkan pada masa itu beliau tidak mempunyai parti setelah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), jelas Mongin.
 

  • oleh
  • Advertisement