Anda di sini

Pergiat usaha lahirkan masyarakat berbudaya sukan

Advertisement
Ripin bersalaman dengan para peserta dan memberikan kata-kata semangat.
Ripin bersalaman dengan para peserta dan memberikan kata-kata semangat.

MIRI: Penganjuran pelbagai kejohanan sukan adalah antara usaha kerajaan untuk mempertingkatkan penglibatan masyarakat dan badan-badan sukan agar sama-sama membantu melahirkan masyarakat yang berbudaya sukan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat berkata, landasan utama untuk membudayakan sukan adalah berasaskan kepada penglibatan serta penyertaan sebahagian besar masyarakat.

“Namun demikian, semangat kesukarelaan dalam kalangan masyarakat kita untuk melibatkan diri dalam sukan dilihat berkurangan dan ia perlu dipertingkatkan.

“Oleh sebab itu, kejohanan sukan yang kita adakan adalah antara usaha ke arah membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir itu berkata demikian pada majlis perasmian Kejohanan Sepak Takraw Malaysia Sports League (MSL) Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Menurut Ripin, ia sejajar dengan matlamat utama Dasar Sukan Negara yang bertujuan untuk mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia yang merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan kegiatan melalui sukan untuk semua, sukan prestasi tinggi dan sukan sebagai industri.

“Jadi, kita perlu faham bahawa budaya sukan turut menerapkan sukan sebagai satu amalan hidup yang aktif, sihat, cergas dan bersaing seperti yang kita saksikan pada hari ini.

“Malah, budaya tersebut perlu dimulakan di peringkat usia muda dan pendekatan melalui aktiviti-aktiviti sukan dan pendidikan jasmani di sekolah juga perlu dipertingkatkan bagi mengenalpasti bakat-bakat muda yang berpotensi dalam bidang sukan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 11 pasukan telah mengambil bahagian masing-masing dari Miri, Limbang, Bintulu, Kapit, Mukah, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Kuching.

Kejohanan berlangsung selama dua hari (25 dan 26 Jun) berkenaan merupakan antara acara sukan menerusi MSL di Sarawak yang telah dilaksanakan sejak bulan Mac lalu bermula dengan pelaksanaan MSL di peingkat bahagian melibatkan lima acara sukan seperti bola jaring, bola keranjang lelaki dan wanita, badminton berpasukan, futsal lelaki dan wanita serta sepak takraw.

Kejohanan sepak takraw terbabit melibatkan pemenang di peringkat bahagian untuk berentap merebut juara keseluruhan bagi mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada Oktober depan di Kuala Lumpur.

“Selain merebut bagi bergelar juara, secara langsung penganjuran kejohanan ini turut mewujudkan semangat setiakawan, semangat muafakat dan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu untuk dikongsikan bersama,” tambah Ripin.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau.
 

  • oleh
  • Advertisement