Anda di sini

Pemimpin kerajaan, pentadbir sekolah diminta terus tingkat kerjasama

Advertisement
 Julita (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan dengan tetamu yang hadir dalam program berkenaan.
KENANGAN: Julita (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan dengan tetamu yang hadir dalam program berkenaan.

KUDAT: Pemimpin kerajaan dan pentadbir sekolah terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong diharap dapat mempertingkatkan lagi kerjasama bagi membantu memperkasa inspirasi pencapaian akademik anak-anak di kawasan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong Datuk Julita Majungki berkata usaha ini juga adalah teras pertama perjuangannya selaku wakil rakyat di kawasan ini.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat juga menyatakan rasa bangga, bersyukur serta berterima kasih kepada pentadbir sekolah yang juga berperanan sebagai cikgu kepada anak-anak Matunggong kerana menunjukkan komited tinggi dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Saya sangat menghormati cikgu dan golongan pendidik ini patut dihormati kerana tanpa mereka, siapalah kita pada hari ini.

“Saya berharap pertemuan seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin dan mereka semua dapat terus bekerjasama dalam hal yang berkaitan dengan bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Professional Learning Community (PLC) SMK/KV Zon Matunggong di Marudu Hall, Kudat Golf and Marina Resort di sini.

Beliau turut gembira dengan pencapaian empat buah sekolah menengah di Matunggong yang mengekalkan pencapaian baik dalam kalangan pelajar SPM.

“Pada tahun 2021, bilangan pelajar cemerlang yang mencapai sekurang-kurangnya 5A dan ke atas adalah seramai 61 orang pelajar. 

“SMK Matunggong kekal menduduki kedudukan antara sekolah terbaik luar bandar di negeri Sabah,” katanua sambil mengucapkan tahniah kepada guru, pelajar dan ibu bapa terhadap komitmen diberikan.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong Marius Masain, Ketua Daerah Matunggong OKK Somuil Mojiun, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Matunggong Epson Kawahui dan beberapa orang lagi Ahli Jawatankuasa Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong.

  • oleh
  • Advertisement