Anda di sini

Pemandu lori rugi RM12,000 selepas pinjam RM1,000 duit along

Advertisement
 

SIBU: Seorang pemandu lori menanggung kerugian berjumlah RM12,000 selepas meminjam RM1,000 daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Mangsa, 39, yang tidak lagi tahan didesak along terbabit agar membuat pembayaran berlipat kali ganda daripada jumlah pinjaman asal, nekad membuat laporan polis pada Khamis lalu. 

Kejadian itu berlaku selepas mangsa tertarik dengan satu iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook sekitar Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili (gambar) berkata, mangsa bertindak menekan pautan di laman sosial itu sebelum beliau dihubungi seorang lelaki lalu berurusan melalui telefon.

"Mangsa berminat membuat pinjaman wang sejumlah RM1,000, kemudian diberi sejumlah RM700 melalui akaun bank mangsa setelah beliau bersetuju membayar RM300 setiap minggu sehingga bayaran selesai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang gagal membuat pembayaran balik seperti dipersetujui dalam tempoh itu kemudiannya dihubungi seorang lelaki lain yang membuat tawaran dua kali pinjaman lagi dengan jumlah dan syarat yang sama.

Secara keseluruhan, mangsa menerima wang pinjaman berjumlah RM2,100 dan membuat pembayaran berjumlah RM12,000 ke tiga akaun berbeza.

Zulkipli berkata, mangsa sudah tidak tahan didesak membuat pembayaran menyebabkannya nekad membuat laporan polis.

"Kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjman Wang 1951," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement