Anda di sini

MRS kutip RM97,600 sepanjang bulan sambutan Pesta Kaamatan

Advertisement
RONNEY
RONNEY

KOTA KINABALU: Sebaik memulakan aktiviti pelesenan bagi acara Pesta Kaamatan Mei lalu, Music Rights Sabah (MRS) Berhad berjaya mengutip invois RM97,600 dan sudah dihantar secara terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2022.

Pegawai Seksyen Event MRS Ronney Ajim berkata invois secara ‘blanket’ ini merangkumi 40 buah lokasi acara sambutan Pesta Kaamatan selama 30 hari di seluruh Sabah dan Labuan serta beberapa kawasan di Semenanjung.

"Kadar tarif pelesenan yang asas bagi sesebuah acara ialah RM460 sehari untuk 100 hadirin yang pertama dan selebihnya tambahan RM2.20 bagi setiap seorang. 

“Dianggarkan seramai 1,000 pengunjung hadir di setiap 40 lokasi termasuklah acara kemuncaknya di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA)  pada 30 dan 31 Mei lalu,” katanya.

Tambahnya penggunaan semula lagu, lirik serta muzik etnik Sabah yang dilesenkan ini termasuklah bagi acara Unduk Ngadau, Sugandoi, Pertandingan Hiis, lagu selingan acara pelancaran dan acara kemuncak Pesta Kaamatan, konsert Kaamatan serta penggunaan lagu etnik yang berleluasa di gerai jualan dan rumah tradisi.

"MRS sudah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffery Kitingan pada 22 April lalu.

“Semasa kunjungan berkenaan, Jeffery menerangkan bajet sambutan Pesta Kaamatan Negeri 2022 sudah dimuktamadkan lebih awal sebelum invois MRS diterima. 

“Beliau bagaimanapun amat menyokong usaha MRS ini bahawa sudah sampai masanya lagu, lirik dan muzik etnik Sabah ini dimartabatkan melalui aktiviti pelesenan, dan turut berjanji akan membawa invois ke pengetahuan kabinet untuk dijelaskan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi hal berkaitan termasuk acara Pesta Kaamatan yang dianjurkan selepas 31 Mei terutamanya di lokasi komersil dan ada unsur perniagaan, MRS dengan mesra menyarankan agar penganjur memohon lesen penggunaan lagu, lirik dan muzik etnik Sabah selewatnya tujuh hari sebelum acara berlangsung melalui beliau sendiri di Seksyen Event MRS dengan menghubungi talian 013-8747700 atau melalui emel [email protected].

Katanya aktiviti pelesenan lagu, lirik dan muzik etnik di Sabah dan Labuan adalah sesuatu yang baru. 

“Kerjasama, kesedaran dan pengetahuan pihak pengguna mengenai pelesenan, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perbadanan Harta Intelek 2002 mesti disuburkan kerana ini adalah asas memajukan kerjaya muzik profesional di Sabah dan Labuan,” katanya.

MRS adalah sebuah badan pelesenan lagu, lirik dan muzik etnik Sabah yang diisytiharkan pada Januari 2022 lepas oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). 

“Sijil pengisytiharan disampaikan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Kota Kinabalu pada 16 Januari lalu.

“MRS akan mengawal urusan-urusan seperti pelesenan hak cipta lagu, lirik dan muzik etnik Sabah dan Labuan, membuat kutipan royalti ke atas pelesenan yang diberi, membuat agihan royalti kepada pemunya hak cipta atau ahli serta mengambil tindakan penguatkuasaan bagi pihak pemunya hak cipta berdasarkan hak yang diberikan.

“Sehingga kini, seramai 600 lebih ahli terdiri daripada kelompok penggiat seni seperti komposer, penulis lirik, penggubah muzik, penyanyi, pemuzik, pembikin video muzik dan pemilik studio rakaman mendaftarkan lebih 9,000 buah lagu pelbagai etnik tempatan di Sabah dan Labuan melalui Music Rights Sabah,” katanya.

Menurutnya sebarang pertanyaan mengenai MRS Berhad sila hubungi 011-3681 0701 atau 011-2683 0701.

  • oleh
  • Advertisement