Anda di sini

Messi akan jadi ‘versi terbaik’ dirinya pada musim depan: Presiden PSG

Advertisement
Gambar fail 11 Ogos 2021 ini menunjukkan Nasser Al-Khelaifi (kiri), Messi (tengah) dan Pengarah Sukan PSG, Leonardo Nascimento semasa sidang media di Stadium Parc des Princes di Paris. — Gambar AFP
Gambar fail 11 Ogos 2021 ini menunjukkan Nasser Al-Khelaifi (kiri), Messi (tengah) dan Pengarah Sukan PSG, Leonardo Nascimento semasa sidang media di Stadium Parc des Princes di Paris. — Gambar AFP

PARIS: Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi percaya Lionel Messi akan menjadi ‘versi terbaik’ dirinya untuk kelab itu musim depan.

Pada musim pertamanya di ibu negara Perancis, Messi menjaringkan hanya enam gol dan mencipta 14 umpanan, di bawah jangkaan berikutan prestasinya di Barcelona.

Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu mencecah usia 35 tahun semalam, pada hari Jumaat, dan Al-Khelaifi percaya Messi akan bersinar pada musim 2022/2023.

“Tidak diragui bahawa Lionel Messi telah memenangi rekod Ballon d’Or tujuh kali, dan itu bukan musim terbaiknya,” kata Al-Khelaifi kepada Le Parisien.

“Tapi setelah lebih dari 20 tahun di Barcelona, melangkah ke negara baru, kota baru, liga baru, pasukan baru. Budaya baru. Serta keluarganya, dan kecederaannya dan dia dijangkiti koronavirus.

“Bukan mudah untuk Messi menjalani musim lalu, tetapi musim depan kita akan melihat versi terbaik Messi.”

Kontrak Messi untuk bersama PSG hanya 12 bulan lagi, namun dia bersemangat untuk menambat hati kelab dan negara dalam musim Piala Dunia.

Messi lambat menampilkan kehebatannya selepas dia memasuki Paris, tidak mendapatkan gol liga sehingga November, dua bulan selepas menjaringkan gol pertama untuk kelab itu dalam Liga Juara-Juara.

Walaupun begitu, pemain Argentina itu berjaya menambah satu lagi gelaran utama pada koleksinya dengan membantu PSG untuk membawa pulang gelaran Ligue 1.

Tetapi kekecewaan timbul melibatkan pengurus semasa, Mauricio Pochettino yang berada di bawah pengawasan selepas PSG tersingkir pada peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara di tangan pemenang, Real Madrid.

Awal minggu ini, Al-Khelaifi dilaporkan telah berbincang dengan Nice untuk mengupah Christophe Galtier sebagai jurulatih baharu buat pasukan juara Perancis.

Namun tiada perubahan di bahagian pengurusan sehingga pemergian Pochettino – dan pampasan 15 juta euro – telah disahkan. — AFP 
 

Advertisement