Anda di sini

Mayat wartawan Britain, pakar peribumi Brazil diserahkan kepada keluarga 

Advertisement
Penduduk peribumi memprotes pembatasan tanah Orang Asli dan pembunuhan wartawan Britain serta pakar peribumi Brazil di Sao Paulo, Brazil kelmarin. — Gambar AFP
Penduduk peribumi memprotes pembatasan tanah Orang Asli dan pembunuhan wartawan Britain serta pakar peribumi Brazil di Sao Paulo, Brazil kelmarin. — Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Mayat wartawan Britain Dom Phillips dan pakar peribumi Bruno Pereira telah diserahkan kepada keluarga mereka kelmarin, hampir dua setengah minggu selepas mereka dibunuh di Amazon, Brazil.

Phillips, 57, dan Pereira, 41, telah ditembak ketika pulang selepas satu ekspedisi di Lembah Javari, sebuah wilayah terpencil bagi hutan hujan tersebut.

Pengebumian Pereira dijadualkan pada Jumaat di Recife, sementara keluarga Phillips akan mengadakan satu upacara penghormatan dan kremasi pada Ahad di Niteroi, berhampiran Rio de Janeiro.

Alessandra Sampaio, balu Phillips, menunjukkan sekeping gambar beliau sendiri memegang cincin perkahwinannya, yang ditemui oleh polis berhampiran dengan mayatnya.

Juga kelmarin, suspek keempat telah menyerah diri di sebuah balai polis di Sao Paulo, memberitahu polis bahawa dia telah mengemudi bot yang mengejar dua lelaki itu, menurut sebahagian daripada kenyataannya yang disiarkan oleh beberapa syarikat berita Brazil.

Gabriel Dantas, 26, menyatakan bahawa dia telah diminta oleh suspek pertama yang ditangkap, Amarildo Oliveira, untuk mengemudi sebuah bot tanpa mengetahui ke mana mereka hendak pergi atau sebab bagi perjalanan itu.

Ketika mereka menghampiri bot yang membawa Phillips dan Pereira, Oliveira “telah menembak mereka dengan selaras raifal ‘16-gauge’,” kata Dantas.
 
Selepas menyaksikan pembunuhan dua lelaki itu, dia kemudian dikatakan membantu membawa mayat mereka ke tempat di mana mereka telah dikuburkan, dengan bantuan beberapa orang lain.

Pada Isnin lepas, polis Persekutuan menyatakan mereka telah mengenal pasti lima orang lagi yang terlibat dalam menyembunyikan mayat, sementara tiga suspek telah ditangkap.

Phillips, penulis bagi beberapa artikel mengenai Amazon dan seorang penyumbang selama ini untuk akhbar The Guardian dan beberapa organisasi berita utama lain, telah pergi ke Lembah Javari sebagai sebahagian daripada penyelidikan untuk sebuah buku akan datang.

Pereira telah bertugas sebagai jurupandunya, dan sebelum ini telah pergi bersama dengannya pada 2018 ke kawasan tersebut, yang dibelenggu oleh aktiviti pengedaran dadah serta perlombongan emas dan penangkapan ikan secara haram. — AFP
 

Advertisement