Anda di sini

Lebih 200,000 pendatang tanpa izin pulang secara sukarela

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

LARUT: Seramai 243,297 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang secara sukarela menerusi Program Rekalibrasi Pulang, sejak ia dilaksanakan pada Disember 2020 dan berakhir 30 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sehingga Khamis lepas, seramai 282,561 jumlah keseluruhan pendatang tanpa izin yang telah berdaftar dan selebihnya akan pulang secara berperingkat.

"Kita akan mengambil tindakan yang tegas pada sesiapa sahaja yang tidak mahu menerima arahan yang telah kita keluarkan. Tempoh hari masih lagi ada yang ambil sambil lewa.

"Orang-orang ini sama ada warga asing yang tinggal di sini tanpa dokumen, tanpa dokumen yang sah atau tanpa pengesahan yang dibuat oleh imigresen. 

"Begitu juga dengan majikan yang mengambil mereka bekerja akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan," katanya ketika ditemui pada program kenduri rakyat di Kampung Anak Kurau, di sini, hari ini. 

Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut, berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pendatang tanpa izin yang enggan mendaftarkan diri untuk pulang secara sukarela setelah tempoh pelanjutan itu tamat.

Katanya,  pendatang tanpa izin boleh berdaftar untuk pulang menerusi program itu atau membuat permohonan untuk bekerja di negara ini secara sah menerusi program Rekalibrasi Tenaga kerja.

"Apabila hendak kerja semula, kita akan panggil untuk temu duga dan pengesahan sebab kalau mereka melakukan kesalahan yang kita rasa tidak boleh dimaafkan, kita suruh dia pulanglah tetapi ada kesalahan-kesalahan kecil yang mereka lakukan, Insya-Allah kita boleh berikan.

"Jadi setakat ini jumlahnya mencukupi daripada apa yang kita anggarkan pada awalnya iaitu saya anggarkan sebelum ini hanya kira-kira 200,000 tetapi hari ini yang pulang dan yang mahu kerja semula sudah pun mencecah 400,000 orang," katanya.

Beliau berkata angka itu mampu untuk membantu majikan yang memerlukan tenaga kerja warga asing dalam pelbagai sektor di negara ini dan rekod menunjukkan hampir RM1 bilion bayaran levi diterima kerajaan antaranya daripada program itu sejak awal tahun ini.

Sebelum ini, kerajaan melancarkan Program Rekalibrasi Pulang iaitu program yang membenarkan pendatang tanpa izin untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Syarat untuk menyertai Program Rekalibrasi Pulang ialah memiliki dokumen perjalanan sah yang diluluskan kedutaan masing-masing dan memiliki tiket penerbangan atau feri untuk pulang ke negara asal.

Mereka juga perlu membayar kompaun RM500 sama ada menerusi kad debit, kad kredit atau Touch ‘n’ Go, e-Wallet sahaja dan mempunyai slip ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) yang sah laku dalam tempoh 72 jam daripada berlepas. - BERNAMA
 

Advertisement