Anda di sini

Kerajaan sedia kemudahan pendidikan kepada pelajar cemerlang lanjut pengajian

Advertisement
Dr Abdul Rahman (berdiri belakang tujuh kiri) dan tetamu bersama pelajar-pelajar cemerlang SPM 2021 dengan hadiah masing-masing.
Dr Abdul Rahman (berdiri belakang tujuh kiri) dan tetamu bersama pelajar-pelajar cemerlang SPM 2021 dengan hadiah masing-masing.

LIMBANG: Kerajaan menyediakan kemudahan dan prasarana pendidikan kepada golongan pelajar cemerlang di negeri ini untuk menyambung pelajaran sama ada sekolah antarabangsa, universiti, institusi kemahiran mahupun ke luar negeri.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan ibu bapa dan guru dengan menggalakkan anak-anak menyambung pelajaran.

“Kemahiran belajar dan perbelanjaan disediakan kerajaan melalui biasiswa, subsidi dan bantuan lain.

“Ibu bapa dan guru-guru perlu mendidik anak mereka dengan menggalakkan membaca dan kerajaan menyediakan kemudahan demi masa depan bersama memajukan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya pada pelancaran Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Limbang di sini, hari ini.

Turut hadir Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Matzinsn Wahit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak telah menubuhkan pelbagai institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran di negeri ini.

Ia merupakan satu usaha agar anak-anak Sarawak berupaya melanjutkan pelajaran masing-masing baik dalam pembelajaran bercorak akademik mahupun kemahiran, katanya.

Pada masa sama katanya, pelajar-pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran di institusi terbabit juga mendapat penajaan Yayasan Sarawak jika memenuhi kriteria diperlukan.

"Ini bermakna masalah kewangan bukan menjadi isu utama untuk kita meningkatkan diri,” jelasnya.

Turut diadakan simbolik penyampaian baucar pakaian sekolah berjumlah RM180,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Limbang melibatkan 40 sekolah di daerah Limbang serta penyampaian hadiah kepada 36 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
 

  • oleh
  • Advertisement