Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka alami lantunan terlebih jual minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mengalami lantunan terlebih jual minggu depan setelah pembetulan ketara yang dilihat sejak tiga bulan lepas, dengan bergerak dalam julat 1,450 hingga 1,480, kata peniaga.

Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana, Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata dalam melangkah ke hadapan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran dijangka meningkat semula lebih tinggi susulan aktiviti pembelian semasa harga rendah memandangkan pelabur kembali membuat keputusan pelaburan untuk membeli saham berharga tinggi dan rendah.

“Saya akan mengatakan ini sebagai lantunan terlebih jual kerana indeks telah mengalami keadaan terlebih jual sejak tiga bulan lepas, di mana bursa tempatan rendah selama 10 daripada 12 minggu. Ini dianggap sebagai terlalu terlebih jual.

“Bagaimanapun, pasaran kita keseluruhannya mengatasi pasaran serantau yang lain. Ini bermakna pembetulan kita adalah rendah kerana data ekonomi kita masih berdaya tahan. Perbelanjaan pengguna masih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Lantunan terlebih jual merujuk kepada kenaikan kukuh berterusan harga sekuriti selepas jualan yang dianggap terlalu teruk. Semasa lantunan terlebih jual, harga sekuriti dengan cepat meningkat ke tahap sejajar dengan penilaiannya.

Nazri Khan juga berkata Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran meningkat, disokong oleh angka Indeks Harga Pengguna (IHP) negara, yang meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 126.6 pada Mei 2022 berbanding dengan 123.1 pada Mei 2021.

“Kita secara relatifnya adalah lebih baik dari segi data ekonomi, sentimen dan pergerakan FBM KLCI kerana didorong oleh saham komoditi yang menyokong pasaran saham kita yang luas, terutama (berkaitan dengan) minyak mentah,” katanya.

Beliau berkata terdapat banyak peluang untuk dimanfaatkan memandangkan saham dilihat lebih murah dan dividen lebih tinggi, ditambah pula dengan banyak pemangkin untuk meredakan penurunan ketara walaupun pasaran mungkin menyaksikan aliran menurun dalam jangka masa sederhana.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, bursa tempatan mencatatkan prestasi bercampur-campur ekoran tekanan jualan yang tinggi dan sentimen pelabur berhati-hati terhadap kebimbangan mengenai inflasi apabila sentimen pasaran bertambah baik di seluruh rantau.

Pada Jumaat, FBM KLCI meningkat 5.65 mata atau 0.39 peratus kepada 1,436.70 daripada 1,431.05 ketika ditutup pada Khamis.

Berasaskan mingguan, indeks penanda aras itu turun 20.04 mata daripada 1,456.74 yang dicatatkan pada akhir minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBMT100 merosot 138.83 mata kepada 9,998.18; Indeks FBM Emas Shariah turun 111.85 mata kepada 10,414.64; Indeks FBM Emas kurang 140.48 mata kepada 10,257.39; FBM ACE menguncup 64.09 mata kepada 4,769.89 dan FBM 70 susut 170.26 mata kepada 12,444.15.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 300.50 mata kepada 6,917.73; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.03 mata kepada 183.37 manakala Indeks Tenaga kurang 42.40 mata kepada 677.49.

Indeks Perkhidmatan Kewangan pula susut 341.39 mata kepada 15,964.45; Indeks Penjagaan Kesihatan menguncup 20.07 mata kepada 1,649.74 dan Indeks Teknologi turun 0.38 mata kepada 62.62.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 12.96 bilion unit bernilai RM8.49 bilion daripada 13.95 bilion unit bernilai RM11.06 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 7.81 bilion saham bernilai RM7.07 bilion daripada 8.34 bilion saham bernilai RM9.84 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran sebanyak 2.41 bilion unit bernilai RM1.41 juta berbanding dengan 2.64 bilion unit bernilai RM468.76 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 2.73 bilion saham bernilai RM907.96 juta daripada 2.95 bilion saham bernilai RM745.40 juta minggu lepas. - BERNAMA
 

Advertisement