Anda di sini

Bangunkan TVET untuk penuhi permintaan ekonomi tempatan

Advertisement
Lau (enam kiri), Wong (enam kanan) serta yang lain pada sesi dialog Jawatankuasa Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sibu dengan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Ming Lik di Wisma Hua Wen Duzhong, hari ini.
Lau (enam kiri), Wong (enam kanan) serta yang lain pada sesi dialog Jawatankuasa Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sibu dengan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Ming Lik di Wisma Hua Wen Duzhong, hari ini.

SIBU: Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sibu Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming mencadangkan sekolah-sekolah persendirian Cina melihat ke arah membangunkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan ekonomi tempatan.

Dalam ucapan perasmiannya pada sesi dialog dengan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Ming Lik di Wisma Hua Wen Duzhong hari ini, beliau berkata, permintaan bakat juga semakin meningkat berikutan pembangunan dalam persekitaran industri dan ekonomi.

Bagaimanapun, beliau difahamkan penubuhan TVET agak membebankan sekolah-sekolah persendirian Cina khususnya dalam menyediakan tenaga pengajar dan kemudahan.

Namun begitu katanya, TVET adalah penting bagi memastikan sekolah-sekolah persendirian Cina dapat seiring dengan perkembangan zaman.

"Sudah tentu, jika boleh, kita mahu membangunkan TVET bagi memenuhi permintaan ekonomi masa kini. 

"Oleh itu, jika sekolah-sekolah persendirian Cina ingin menawarkan TVET, mereka harus memberi tumpuan kepada kawasan tempatan dan pasaran ekonomi tempatan," jelasnya.

Lau berkata, TVET adalah sangat penting bagi memastikan kebolehpasaran pelajar mendapat pekerjaan.

"Justeru, cuba kaji ekonomi tempatan. Pada pendapat saya, jika kita mahu membangunkan pendidikan ini, kemudahan asas mesti disediakan oleh pihak sekolah" ujarnya sambil menambah ia tidak sepatutnya menjejaskan pendidikan tradisional yang disediakan di sekolah-sekolah persendirian Cina.

Beliau juga berharap lembaga pengurusan sekolah masing-masing mempunyai perancangan bagi memastikan pembangunan berterusan setiap sekolah.

Menurutnya, sekolah-sekolah persendirian Cina telah menghadapi banyak cabaran sejak wabak COVID-19.

"Jumlah keseluruhan pelajar di lima buah sekolah-sekolah persendirian Cina di Sibu pada tahun ini ialah 2,205 pelajar berbanding 2,412 pelajar pada 2021.

"Ini adalah penurunan sebanyak 207 pelajar, iaitu kira-kira 8.58 peratus," katanya sambil menambah bilangan pengambilan baharu juga menurun.

Beliau percaya perubahan dalam sistem diperlukan untuk memastikan sekolah-sekolah itu tidak ketinggalan.

"Kita mesti mengambil inisiatif dan merangka strategi yang baik untuk memastikan sekolah dapat terus berkembang," ujarnya.

Lau juga menegaskan bahasa Cina mesti digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah persendirian Cina.

Beliau difahamkan ibu bapa berharap pihak sekolah memberi perhatian yang sama kepada ketiga-tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

"Ya, semua itu penting, tetapi apa yang paling penting ialah tahap akademik. Penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan soal bahasa, tetapi pencapaian akademik," tegasnya.

Hadir sama pada sesi dialog ialah Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Ming Lik James Wong Hua Kiong.
 

  • oleh
  • Advertisement