Anda di sini

645 karton rokok, tembakau seludup dirampas

Advertisement
 Rokok dan kenderaan yang dirampas dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.
RAMPAS: Rokok dan kenderaan yang dirampas dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU: Sebanyak 645 karton rokok dan tembakau yang diseludup masuk dari luar negara berjaya dirampas menerusi Op Benteng Bersama di Lorong Haji Salleh, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, pasukan Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) mengesan seorang lelaki sedang memasukan beberapa kotak yang dibungkus plastik hitam ke dalam sebuah kenderaan.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata pasukan QRF bertindak mendekati kenderaan tersebut untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit bergegas melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan QRF ke kawasan rumah kedai berhampiran dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kenderaan tersebut menemukan 645 karton rokok pelbagai jenis dan tembakau disyaki diseludup dari negara jiran.

“Kita percaya sindiket penyeludupan rokok tersebut didalangi oleh warga tempatan dan asing untuk dijual dalam pasaran gelap di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, semua barang rampasan termasuk kenderaan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM54,295 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Abdul Karim berkata kerjasama erat antara semua pasukan keselamatan ditahap yang terbaik menerusi operasi pemantauan dan perkongsian maklumat ketika ini.

“Melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op benteng Bersama yang dilaksanakan secara berterusan dapat menjamin kedaulatan negara sentiasa terjaga.

“ATB 2 tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan, penyeludupan serta ancaman keselamatan khasnya di Pantai Timur Sabah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement