Anda di sini

4,319 graduan UMS berjaya tamatkan pengajian

Advertisement
 Tun Juhar ketika mengisytiharkan Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23.
GRADUAN: Tun Juhar ketika mengisytiharkan Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23.

KOTA KINABALU: Seramai 4,319 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dirai pada Majlis Konvokesyen kali ke-23 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 77 graduan Doktor Falsafah, 357 graduan sarjana, 3,664 graduan prasiswazah, 87 graduan diploma pasca dan 134 graduan diploma.

Seramai 99 graduan adalah penuntut antarabangsa UMS antaranya dari negara China, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Timor Leste, Pakistan, Korea Selatan, Iran, Zanzibar, Vanuatu, Arab Saudi dan India.

Konvokesyen tahun ini memaparkan seramai 204 graduan adalah penerima Ijazah Kelas Pertama, selain sembilan penuntut orang kurang upaya (OKU) dan dua posthumous menerima ijazah.

Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin memulakan penyampaian ijazah kepada 461 graduan dalam sidang pertama majlis tersebut.

Beliau yang juga Canselor UMS turut menyampaikan anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera dan Bukan Bumiputera), Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor, Pingat Emas Alumni, Hadiah Zainal Abidin Bador, Hadiah Tun Zaki (Tempatan dan Antarabangsa) dan Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS kepada graduan cemerlang.

Sidang kedua yang berlangsung pada sebelah petang pula menyaksikan seramai 987 graduan menerima ijazah masing-masing daripada Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

Beliau turut dijadual menyempurnakan penyampaian skrol ijazah pada hari Ahad iaitu membabitkan 732 penerima pada sidang tiga (pagi) dan 596 graduan pada sidang empat (petang).

Penyampaian ijazah pada hari Isnin akan disempurnakan Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin melibatkan seramai 896 graduan pada sidang lima (pagi) dan sidang enam (petang) seramai 647 graduan.

 Pada majlis ini juga menyaksikan seramai 27 graduan Fakulti Pengajian Islam (FIS) yang menjadi kumpulan pertama bergraduasi di fakulti tersebut dan menerima Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam.

Untuk rekod, kesemua graduan yang dirai  terdiri daripada mereka yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa dan separuh masa di peringkat pascasiswazah dan prasiswazah merangkumi 12 fakulti dan satu akademi di UMS.

  • oleh
  • Advertisement