Anda di sini

234 peserta skim Sekuau sebulat suara tolak FELCRA

Advertisement
Henry Kanyan (enam kiri, depan), Penghulu Andrewson Ngalai (lapan kiri, depan) bersama para peserta yang hadir sebulat suara menolak FELCRA membangunkan semula kawasan Skim Penempatan Semula Sekuau.
Henry Kanyan (enam kiri, depan), Penghulu Andrewson Ngalai (lapan kiri, depan) bersama para peserta yang hadir sebulat suara menolak FELCRA membangunkan semula kawasan Skim Penempatan Semula Sekuau.

SIBU: Seramai 234 peserta projek ladang kelapa sawit FELCRA di Skim Penempatan Semula Sekuau yang hadir pada mesyuarat pemilihan Protem Jawatankuasa Tuntutan Hak Kepada FELCRA hari ini sebulat suara menolak FELCRA membangunkan semula kawasan tersebut. 

Pengerusi Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (MJKKK) Skim Sekuau, Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing memaklumkan, FELCRA telah membayar dividen sebanyak RM1,700 kepada setiap 404 peserta terbabit dua hari lepas.

"Walaupun mereka (FELCRA) sudah bayar, tapi suara majoriti peserta tetap menolak FELCRA daripada Sekuau kerana peserta telah ditipu selama lebih 25 tahun, pembayaran dividen sangat tidak memuaskan hati. 

"Mula-mula dahulu, mereka bayar RM3,000 lebih, lepas itu RM1,000 lebih dan RM300. 

"Apabila kita kira keseluruhan dividen sepanjang 25 tahun kurang daripada RM5,000. Peserta memutuskan pihak FELCRA harus menghentikan operasi sama ada ladang dan pentadbiran di Sekuau," ujarnya kepada pemberita ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Mesyuarat pemilihan protem jawatankuasa tersebut yang diadakan di Dewan Penghulu Balang Sekuau dihadiri seramai 234 peserta daripada 404 peserta, selain turut dihadiri oleh para pemerhati daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mesyuarat itu menyaksikan Henry Kanyan dipilih sebagai pengerusi protem jawatankuasa tersebut.

Menurutnya, seramai 170 lebih peserta tidak dapat hadir disebabkan mereka berada di Miri, Kuching dan Semenanjung Malaysia. 

"Bagaimanapun mereka menghantar wakil untuk menyertai mesyuarat tersebut," ujarnya.

Henry Kanyan memberitahu, mereka akan merujuk perkara tersebut kepada pihak berkaitan dengan mengambil kira banyak faktor terutamanya dari segi undang-undang, kementerian, pejabat residen, pandangan pegawai daerah dan pihak berkaitan FELCRA terutamanya pihak Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED). 

Dalam masa terdekat katanya, mereka akan menubuhkan kumpulan profesional yang akan membuat kertas kerja dan berhubung dengan pihak kerajaan. 

"Kami mohon kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari campur tangan bantu kami. Kami telah mengundi Gabungan Parti Sarawak (GPS), jadi GPS mesti tolong kami. 

"Kami mahu GPS tolong kami, kotakan janji. GPS cakap mahu bantu rakyat dari segi ekonomi, bantu rakyat luar bandar, sekarang bantu kami. 

"Kita merayu Premier Sarawak bantu rakyat Sekuau. Rakyat Sekuau telah terbukti mengundi GPS,  kita menang di kawasan Sekuau, untuk makluman, kita menang lima peti undi di Sekuau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement