Anda di sini

Yusof Apdal bertanding jawatan Yang Di Pertua USIA

Advertisement
 Sebahagian Ketua-ketua Bahagian dan Wakil Bahagian USIA yang memberi sokongan kepada Yusof bertanding sebagai Yang Di Pertua USIA 2022-2024.
BERI SOKONGAN: Sebahagian Ketua-ketua Bahagian dan Wakil Bahagian USIA yang memberi sokongan kepada Yusof bertanding sebagai Yang Di Pertua USIA 2022-2024.

KOTA KINABALU: Timbalan Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Haji Mohammad Yusof Apdal menawarkan diri untuk bertanding jawatan Yang Di Pertua USIA  sesi 2022-2024 dalam Persidangan Agung USIA yang diadakan di Dewan Utama USIA 1 Borneo pada 25 Jun 2022 (esok).

Beliau mengambil keputusan itu selepas mengambil kira permintaan, dorongan dan sokongan ahli-ahli USIA di peringkat akar umbi yang mahukan perubahan serta penambahbaikan dalam organisasi Islam terbesar di Sabah itu.

Meskipun pada peringkat awalnya, beliau menyatakan tidak minat untuk bertanding tetapi dalam jelajah USIA di peringkat bahagian, dorongan dan desakan kepadanya agar bertanding jawatan tertinggi itu semakin besar.

“Saya fikir tidak elok mengecewakan mereka. Oleh sebab itu, saya menawarkan diri bertanding jawatan Yang Di Pertua USIA dengan slogan USIA Berkhidmat,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sidang media itu turut dihadiri sebanyak 16 ketua bahagian USIA dan wakil bahagian sebagai tanda sokongan kepada Yusof yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu.

Daripada 27 bahagian USIA yang bersidang, Yusof menerima pencalonan tertinggi untuk bertanding jawatan Yang Di Pertua sebanyak 14 pencalonan, manakala Datuk Haji Sapawi Ahmad menerima lapan pencalonan dan Datuk Haji Sairin Karno menerima lima pencalonan.

Yusof menjelaskan, sebagai sebuah pertubuhan Islam yang memiliki sejarah perjuangan yang panjang dalam mengembangkan syiar Islam, USIA perlu mendepani cabaran baharu dengan membuat penambahbaikan dalam pengurusan dan pentadbirannya untuk kekal relevan sesuai aspirasi ahli-ahli USIA.

Beliau berkata, ahli-ahli USIA di peringkat akar umbi mendambakan pemimpin seperti Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun dan Allahyarham Tun Sakaran Dandai yang mempunyai keupayaan mengemudi USIA kembali kepada matlamat asal perjuangannya.

Katanya, antara perkara yang diberikan keutamaan jika beliau diberi kepercayaan memimpin USIA ialah penambahbaikan dari segi pentadbiran dan pengurusan USIA di peringkat pusat dan bahagian.

“Kita mahu mewujudkan pejabat USIA di setiap bahagian supaya USIA dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada ahlinya,” katanya.
Menurutnya, majoriti bahagian tidak mempunyai pejabat, oleh sebab itu mereka tidak dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat Islam.

Selain itu, Yusof bertekad mahu melakukan reformasi dari pentadbiran bagi memastikan setiap bahagian berfungsi supaya ia dapat melaksanakan syiar dakwah Islam di negeri ini.

“Kita akan menjadikan USIA berorientasikan perkhidmatan kepada ahli dan masyarakat Islam seluruhnya. Usia berkhidmat, itu slogan kita,” katanya.

Beliau berkata, untuk menjadikan perkhidmatan USIA lebih efektif dan relevan kepada ahli-ahlinya, pihaknya akan mewujudkan unit syariah, unit pendidikan yang akan menyelaras pusat tahfiz dan sekolah agama rakyat, unit kebajikan mualaf yang akan menyelaras kebajikan golongan mualaf, unit kaunseling, khidmat nasihat serta sebagainya

“Kita mahu USIA menjadi pusat rujukan umat Islam. Kita akan mewujudkan pusat khidmat dan menyediakan sukarelawan-sukarelawan yang mahir dalam bidang masing-masing seperti peguam syariah serta sebagainya untuk memberi khidmat nasihat kepada yang memerlukan.

"Dalam bidang ekonomi, kita akan menubuhkan Yayasan USIA dan menubuhkan koperasi USIA bagi menggerakkan ekonomi ahli-ahli USIA di seluruh semua peringkat," katanya.

Menurutnya, jika terpilih nanti beliau akan mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan NGO-NGO Islam di negeri ini dalam mengembangkan dan memperkasakan syiar Islam diSabah.

“Ini perjuangan kita bersama, bukan untuk  satu individu, perjuangan dan hala tuju yang disepakati bersama,” katanya sambil memberitahu bahawa USIA adalah sebuah pertubuhan bukan politik.

“Dalam USIA, tak ada agenda politik kepartian. Jangan bawa politik dalam USIA. Kita letak Islam sebagai keutamaan dalam perjuangan kita. Kita kembalikan USIA ke landasan perjuangan asalnya.

“Mari kita  bersatu membina  keimanan, bersama meneruskan perjuangan,” katanya sambil menyeru ahli-ahli dan perwakilan USIA bersatu memberi sokongan kepada agenda penambahbaikan USIA demi kemaslahatan dan kepentingan umat Islam di negeri ini.
 

Advertisement