Anda di sini

Usaha sama Sime Darby Property-Logos umum penutupan pertama bagi dana US$250 juta

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Usaha sama Sime Darby Property Bhd (SDP) dan Logos SE Asia Pte Ltd, SDPLOG mengumumkan penutupan pertama bagi Dana Pembangunan Perindustrian sulungnya, dengan 70 peratus komitmen modal diperoleh untuk saiz dana sehingga US$250 juta (US$1=RM4.40).

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, kedua-dua pihak menjelaskan dana patuh syariah itu akan diterajui oleh Permodalan Nasional Bhd dan dana-dana unit amanah di bawah pengurusannya serta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

SDP dan Logos Property pula sebagai penaja dan pelabur bersama dana yang akan membolehkan pembangunan aset logistik dalam tempoh tiga tahun akan datang mengikut rancangan perniagaan dana tersebut, tambah kedua-dua pihak.

Menurutnya, modal serta-merta yang tersedia untuk dana itu digunakan setakat penutupan pertama adalah RM500 juta.

Pendanaan daripada pelabur akan menyokong pembangunan aset hartanah logistik moden yang mampan, berskala besar dan bersepadu di Malaysia dengan pensijilan bangunan hijau.

“Bagi tapak pertamanya, Kawasan Logistik E-Metro seluas 71.63 hektar, dana itu bersedia untuk menyediakan aset logistik meliputi kawasan boleh disewa kasar seluas lapan juta kaki persegi, terletak di perbandaran Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor yang dibangunkan Sime Darby Property,” jelas kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Datuk Azmir Merican berkata dana itu menyediakan modal bagi subtema logistik dan pergudangan, e-dagang dan rantaian sejuk yang mendapat permintaan tinggi, selaras dengan aliran perdagangan global, perkembangan rantaian bekalan, peningkatan pertumbuhan e-dagang dan peralihan pilihan pengguna.

“Kami yakin minat keseluruhan terhadap logistik sebagai kelas aset akan meningkat.

“Kawasan Logistik E-Metro terletak di lokasi yang strategik dan dihubungkan dengan lebuh raya, pelabuhan laut dan lapangan terbang, menjadikannya lokasi yang ideal untuk hab rantaian bekalan serantau,” katanya. - BERNAMA

Advertisement