Anda di sini

Tiga syarikat telekomunikasi dikenakan arahan Suruhanjaya

Advertisement
PUTRAJAYA: Tiga syarikat telekomunikasi telah dikenakan Arahan Suruhanjaya kerana didapati gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan di Langkawi termasuk Lebuhraya Langkawi dan kawasan pelancongan.

Syarikat telekomunikasi itu ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei 2022, menuntut ketiga-tiga syarikat itu untuk membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

"Kegagalan syarikat telekomunikasi dalam memenuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 di bawah Seksyen 109 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM)," menurut MCMC.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa pada 14 Jun lepas telah mengarahkan MCMC untuk membuat pemetaan dan audit kualiti perkhidmatan capaian Internet di seluruh Malaysia.

Annuar dilaporkan berkata MCMC perlu menggunakan undang-undang yang ada dalam akta berkaitan terhadap pihak telco yang didapati tidak mencapai tahap sepatutnya dan mengeluarkan arahan bagi mewajibkan mereka memperbaiki mutu perkhidmatan.

Susulan itu, MCMC memaklumkan pihaknya telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di bawah MSQoS di 3,038 lokasi di seluruh negara, dengan kesemua lokasi itu dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima.

Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun lepas, jelas MCMC.

MCMC memberitahu aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan oleh pihaknya bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan. 

"Bermula pada tahun lepas, MCMC telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri dan satu daripada penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan. 

"MCMC turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar, jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi," menurut MCMC. - BERNAMA

Advertisement